
Pengerusi Bersih Faisal Abdul Aziz berkata cadangan itu termasuk memindahkan kuasa melantik dan membuang ketua pesuruhjaya serta pegawai SPRM lain daripada Jemaah Menteri kepada Suruhanjaya Perkhidmatan Pencegahan Rasuah (SPPR) yang dicadangkan Bersih.
Menurutnya perlu ada tambahan klausa Perkara 141B Perlembagaan Persekutuan bagi menubuhkan suruhanjaya khas itu.
“Cadangan kedua, Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 perlu dipinda untuk memindahkan kuasa bagi menamatkan pegawai awam yang melibatkan kepentingan awam, daripada kerajaan kepada suruhanjaya perkhidmatan bersesuaian.
“Selain itu, Perkara 132 dan 135 Perlembagaan Persekutuan perlu dipinda bagi menjaga kepentingan dan hak penjawat awam.
“Cadangan seterusnya adalah status semasa ketua pesuruhjaya SPRM memegang jawatan atas kehendak Yang di-Pertuan Agong tertakluk kepada nasihat perdana menteri dan tidak boleh dipecat, melainkan ada isu salah laku atau hilang upaya.
“Perkara terakhir adalah had tempoh ketua pesuruhjaya SPRM adalah lima tahun,” katanya menurut Sinar Harian ketika Pembentangan Laporan Kajian dan Forum Khas bertajuk ‘Reformasi SPRM: Apa Yang Perlu’ di Shah Alam.
Beliau berkata cadangan itu akan diserahkan kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Azalina Othman Said dalam masa terdekat.
Katanya model semasa SPRM pernah diuji, tetapi ia jelas tidak menjalankan fungsi dengan baik.
“Susulan apa yang berlaku dalam konteks isu rasuah besar seperti 1MDB, kita harus ada reformasi. Kita tidak boleh selesa dengan situasi sedia ada yang jelas teruji tidak dapat jalankan fungsi dengan baik.
“Sebab itu, bagi kita ini masa terbaik untuk laksanakan reformasi. Harapan besar untuk pelaksanaannya, kita faham ia memerlukan ruang dan masa, tetapi perlu ada kemajuan untuk dibentangkan di Parlimen,” katanya sambil menambah cadangan itu dibuat berdasarkan kajian komprehensif oleh penyelidik.