
Memperingati ulang tahun ke-10 MH17 di tembak jatuh di timur Ukraine, Wakil Peringkat Tinggi EU untuk Hal Ehwal Luar dan Dasar Keselamatan, Josep Borrell, berkata EU mengulangi sokongan penuh untuk semua usaha dalam menegakkan kebenaran, keadilan, dan akauntabiliti, selaras Resolusi 2166 Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu.
“Pada 17 Julai, kami mengenang 298 orang yang tidak bersalah, termasuk 80 kanak-kanak, daripada 17 negara yang kehilangan nyawa dalam MH17 yang ditembak jatuh 10 tahun lepas.
“Peringatan 10 tahun ini mengimbau kenangan yang sangat menyakitkan. Kami mengulangi ucapan takziah kami kepada keluarga dan sahabat mangsa,” katanya dalam kenyataan.
Pada 17 Nov 2022, Mahkamah Daerah The Hague menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup terhadap tiga individu kerana peranan mereka dalam menembak jatuh MH17.
Sementara itu, Borrell berkata EU menegaskan bukti yang dikemukakan pasukan penyiasat bersama dalam prosiding di mahkamah Belanda, dan dikemukakan kepada Mahkamah Hak Asasi Manusia Eropah (ECHR), dan Majlis Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO), jelas menunjukkan sistem peluru berpandu permukaan-ke-udara BUK yang digunakan untuk menembak jatuh MH17 milik tentera Rusia.
“Tiada operasi maklumat palsu Rusia boleh mengalihkan perhatian daripada fakta asas ini, yang telah ditetapkan oleh mahkamah undang-undang,” katanya.
Borrell berkata EU mengambil maklum prosiding yang dimulakan oleh Belanda terhadap Rusia di ECHR, serta prosiding yang dimulakan oleh Australia dan Belanda di ICAO, yang merupakan langkah penting ke arah mencapai kebenaran, keadilan, dan akauntabiliti.
MH17 berlepas pada 12.15 tengah hari (waktu Belanda) dari Lapangan Terbang Schiphol di Amsterdam dan dijadualkan tiba di Kuala Lumpur pada 6.10 pagi (waktu Malaysia) pada hari Jumaat, 18 Julai 2014.
Bagaimanapun, pada 10.15 malam (waktu Malaysia), Malaysia Airlines menerima maklumat daripada Kawalan Trafik Udara Ukraine bahawa ia kehilangan hubungan dengan MH17 pada pukul 1415 (GMT), pada kedudukan 30 kilometer (km) dari Tamak, kira-kira 50km dari sempadan Rusia-Ukraine.
Pada 17 Nov 2022, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup kepada Igor Girkin, Sergei Dubinsky dan Leonid Kharchenko selepas mereka didapati bersalah menembak jatuh MH17 dan membunuh semua 298 penumpang dan anak kapal, manakala Oleg Pulatov dibebaskan atas pertuduhan yang sama.
Girkin, Dubinsky, dan Kharchenko juga diperintahkan membayar lebih daripada 16 juta Euro (RM75.26 juta) sebagai pampasan kepada waris.
Mahkamah mendapati MH17 ditembak jatuh dengan peluru berpandu BUK buatan Rusia dari ladang pertanian di timur Ukraine, menyatakan bukti yang meluas yang tidak meninggalkan “sebarang kemungkinan keraguan yang munasabah sama sekali”.