Fahmi kecewa pembuli Esha didenda RM100

Fahmi kecewa pembuli Esha didenda RM100

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata definisi buli siber perlu dikaji semula.

pami pazil
Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata beliau difahamkan denda RM100 terhadap pembuli  pempengaruh TikTok, A Rajeswary dikenakan berdasarkan bukti. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil menyuarakan rasa kecewa dengan denda RM100 dikenakan terhadap seorang wanita yang terbabit kes buli siber pempengaruh TikTok, A Rajeswary atau dikenali sebagai Esha.

“Saya kesal dengan denda yang kecil, tetapi saya difahamkan oleh Pejabat Peguam Negara bahawa hukuman dikenakan berdasarkan bukti yang diperoleh.

“Kita perlu mengkaji semula definisi buli siber, dan apakah denda yang sesuai untuknya,” katanya kepada pemberita pada sidang media selepas menyampaikan ucaptama di KL Startup Summit 2024.

Semalam, P Shalini dikenakan denda itu oleh Mahkamah Majistret Kuala Lumpur selepas mengaku bersalah kerana berkelakuan menghina dengan niat untuk menimbulkan kemarahan dan mengganggu ketenteraman.

Shalini yang bekerja di rumah jagaan orang tua, dituduh membuat kenyataan menghina menerusi akaun TikTok alphaquinnsha, pada 4 pagi, 1 Julai lalu.

Wanita itu didakwa mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955 yang membawa hukuman denda maksimum RM100.

Esha, 29, ditemui maut di kediamannya di Setapak, Kuala Lumpur pada 5 Julai lalu, sehari selepas membuat laporan polis terhadap dua individu yang memfitnahnya di TikTok.

Fahmi juga berkata beliau menyemak bagaimana Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengambil tindakan terhadap mereka yang membuat komen menghasut di media sosial, terutama di platform siaran langsung seperti TikTok.

Pada masa sama beliau juga memberi amaran kepada mereka yang membuat ancaman terhadap hakim mengendalikan kes pengasas KK Mart Chai Kee Kan dan isterinya, serta kes larangan kedai judi oleh kerajaan Kedah.

“Saya beri amaran, kami akan cari anda. SKMM mempunyai kemampuan, dan kami akan mencari mereka yang membuat ancaman jenayah.

“Kami mahu memastikan internet lebih selamat untuk semua. Oleh itu, kita perlu memastikan bahawa buli siber ditangani, dengan denda yang lebih besar, definisi yang lebih jelas, dan platform membantu mengurangkan kejadian penipuan dalam talian,” katanya.

Isnin lalu, syarikat Kumpulan KK Supermart & Superstore Sdn Bhd didenda RM60,000 oleh mahkamah sama, atas pertuduhan melukakan perasaan orang Islam berhubung isu penjualan stoking tertera kalimah Allah.

Bulan lalu, Mahkamah Tinggi Alor Setar memutuskan keputusan kerajaan negeri untuk tidak mengeluarkan atau memperbaharui lesen premis perjudian adalah tidak berperlembagaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.