
Ketua Penerangan PAS Pulau Pinang Muhammad Fawwaz Jan berkata, nama asal sesuatu tempat yang melambangkan identiti negara wajib diketengahkan, bukan ‘identiti yang diberikan penjajah’.
Beliau berkata demikian dalam kenyataan susulan pengeluaran klip video promosi George Town Festival 2024 (GTF) yang didakwa hanya mempromosikan kebudayaan kaum Cina dan India.
Menzahirkan kekecewaan PAS Pulau Pinang, Muhammad Fawwaz berkata, video itu seolah-olah menafikan semangat perpaduan masyarakat Pulau Pinang yang sebenar kerana budaya masyarakat Melayu tidak juga dipromosikan.
“Adakah ini satu lagi agenda terancang untuk menggambarkan George Town akan dimiliki oleh kaum tertentu sahaja?” soalnya.
“Adakah terdapat pihak tertentu ingin menafikan kewujudan penduduk asal yang menetap di Pulau Pinang sebelum penjajahan Francis Light?”
Sehubungan itu, beliau menggesa kerajaan negeri agar mengambil tindakan terhadap pihak berkaitan agar keharmonian rakyat di Pulau Pinang terus terjaga.
“Besar harapan PAS Pulau Pinang agar kerajaan Pulau Pinang tidak membenarkan mana-mana pihak menganaktirikan kaum Melayu dan sekadar menjadikan ‘kerajaan perpaduan’ kata-kata pemanis bicara,” katanya.
Terdahulu penganjur GTF, Kerson Media Global Sdn Bhd memohon maaf dan menurunkan video promosi yang didakwa tidak menonjolkan budaya Melayu itu.
Menerusi kenyataan, jurucakap memaklumkan, semua klip video berkaitan telah dipadam di semua saluran media sosial dan laman web bagi mengelak ‘salah faham’.