Tak semua Ahli Parlimen baca laporan PAC atas meja, kata pengerusi

Tak semua Ahli Parlimen baca laporan PAC atas meja, kata pengerusi

Mas Ermieyati Samsudin berharap laporan PAC dapat dibahaskan kerana kandungannya menyeluruh termasuk mempunyai prosiding siasatan.

dewan-rakyat
Mas Ermieyati Samsudin berharap laporan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara dapat dibentang dan dibahaskan pada persidangan ketiga tahun ini dijadualkan bermula 14 Okt hingga 12 Dis. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) berharap perbahasan laporannya buat kali pertama di Dewan Rakyat pada penggal ini dapat mengubah persepsi kepentingan dokumen itu berbanding hanya ‘diletak’ di meja Ahli Parlimen tanpa dibaca.

Pengerusinya Mas Ermieyati Samsudin berkata pihaknya menghargai persetujuan Speaker Dewan Rakyat Johari Abdul merealisasikan reformasi itu yang sepatutnya dibuat pada mesyuarat kedua tahun ini bermula 24 Jun lalu hingga Khamis ini.

Namun, katanya kekangan masa mungkin menyebabkan perbahasan laporan PAC dalam kalangan wakil rakyat hanya dibuat pada persidangan ketiga tahun ini bermula 14 Okt hingga 12 Dis, yang turut membabitkan pembentangan Belanjawan 2025.

“Saya konsisten laporan PAC perlu dibahas di Dewan Rakyat sebab ada perkara berbangkit walaupun laporan diletak di meja Ahli Parlimen tetapi ada yang tak baca…berapa ramai wakil rakyat baca?.

“Tahun lepas Ahli Parlimen membahaskan Laporan Ketua Audit Negara, pada saya lebih baik bahas laporan PAC sebab menyeluruh, ada siasatan prosiding dan segalanya dalam laporan itu,” katanya dalam wawancara bersama FMT.

Pada Oktober tahun lalu, Johari berkata beliau akan memastikan laporan PAC berhubung projek pembinaan kapal tempur pesisir (LCS) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dibahas di Parlimen.

Mas Ermieyati Samsudin berkata siasatan PAC bagi penggal ke-15 Parlimen mencatat peningkatan setiap tahun, menunjukkan komitmen ahlinya yang datang daripada blok kerajaan serta pembangkang.

Menurut Mas Ermieyati yang juga Ahli Parlimen Masjid Tanah, siasatan PAC menjadi satu daripada sumber bebas yang boleh menjawab kepada penyelewengan, penyalahgunaan kuasa, pembaziran dan ketirisan wang kerajaan.

“Jadi penting memberi pemahaman lebih mendalam kepada Ahli Dewan Rakyat supaya mereka tahu apakah yang telah disiasat, hasil dan syor telah diberikan setiap agensi atau pun mereka yang terbabit tadbir urus kerajaan,” katanya.

Wakil rakyat Perikatan Nasional (PN) itu turut berkongsi siasatan PAC bagi penggal ke-15 Parlimen mencatat peningkatan setiap tahun, menunjukkan komitmen ahlinya yang datang daripada blok kerajaan serta pembangkang.

Menurutnya, tahun lalu pihaknya mengadakan mesyuarat sebanyak 51 kali, 13 lawatan kerja serta verifikasi, manakala membentangkan empat laporan.

“Tahun ini hingga 3 Julai, 54 mesyuarat PAC dijalankan manakala 16 lawatan kerja serta verifikasi dan 16 pembentangan laporan,” katanya yang turut berpuas hati dengan kerjasama dan tindakan agensi kerajaan.

Anggota PAC buka ‘topi parti’

Sementara itu, Mas Ermieyati turut memuji anggota pasukan PAC yang membuka ‘topi parti’ apabila menjalankan proses semak dan imbang kepada pentadbiran kerajaan.

Menurutnya, walaupun jumlah wakil kerajaan iaitu seramai lapan orang melebihi empat daripada pembangkang dalam PAC, ia tidak mempengaruhi keputusan dibuat secara konsesus dalam mengendalikan satu-satu prosiding kes.

“Apabila dipilih sebagai ahli PAC kita letak ‘topi parti’ di luar, waima sesiapa pun jadi pengerusi harus terbuka dengan memainkan peranan…tidak boleh terlalu ada sifat melabel walaupun semuanya berbeza latar belakang politik kepartian,” kata Ahli Parlimen Bersatu itu.

Anggota PAC lain terdiri Wong Shu Qi (Kluang) yang juga timbalan pengerusi, Syahredzan Johan (Bangi), Vivian Wong Shir Yee (Sandakan), Mohd Isam Mohd Isa (Tampin), Sim Tze Tzin (Bayan Baru) dan Zahir Hassan (Wangsa Maju).

Richard Rapu (Betong), Azli Yusof (Shah Alam), Ku Abd Rahman Ku Ismail (Kubang Pasu), Ahmad Tarmizi Sulaiman (Sik), Ali Biju (Saratok), Halimah Ali (Kapar) dan Adnan Abu Hassan (Kuala Pilah).

Setiausaha Dewan Rakyat Nizam Mydin Bacha Mydin turut bertindak sebagai setiausaha PAC.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.