
Menteri, Fadhlina Sidek, berkata golongan pesara guru sememangnya sudah banyak membantu usaha KPM meningkatkan tahap pengajaran dan pembelajaran (PdP) dalam bahasa itu seperti program HIP (Highly Immersive Programme).
“Kalau sukarelawan Singapura nak datang kita alu-alukan.
“Kalau guru-guru bersara nak khidmat dengan kita pun kita alu-alukan. Tidak ada masalah,” katanya pada sesi pertanyaan menteri di Dewan Rakyat.
Beliau menjawab soalan tambahan Jimmy Puah Wee Tse (PH-Tebrau) mengenai kemungkinan pembabitan pesara guru menyediakan persekitaran bagi membantu meningkatkan tahap penguasaan bahasa Inggeris terutama di kawasan pedalaman.
Jimmy secara peribadi tidak menganggap orang Singapura fasih berbahasa Inggeris, selain yakin lebih ramai rakyat Malaysia seperti pesara guru lagi layak.
Dalam pada itu, Fadhlina berkata, KPM akan mengenal pasti sukarelawan mempunyai kelayakan tertentu bagi menjamin kualiti PdP.
“Inisiatif seperti ini pernah dilaksanakan oleh KPM dengan melibatkan tenaga pengajar dari negara maju seperti Australia, Amerika Syarikat, dan Korea,” katanya.
Jun lalu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata hasil perbincangan dengan Perdana Menteri Singapura Lawrence Wong, kemungkinan republik itu menghantar guru untuk mengajar bahasa Inggeris dan mata pelajaran lain di beberapa tempat.
Anwar turut menjelaskan kerajaan bukan berhasrat membawa guru dari Singapura untuk mengajar bahasa Inggeris, sebaliknya mewujudkan satu skim bantuan untuk menghantar sukarelawan ke kawasan pedalaman.
Bagaimanapun, cadangan itu ditolak Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) dengan menyuarakan Malaysia mempunyai ramai guru berkemampuan.