
Menurut sumber, SPRM menahan lelaki berusia dalam lingkungan 50-an itu kira-kira 8 malam tadi ketika hadir memberi keterangan di ibu pejabat agensi antirasuah itu.
Perintah reman selama empat hari sehingga Jumaat ini dikeluarkan oleh Mahkamah Majistret Putrajaya Irza Zulaikha Rohanuddin pagi tadi.
“Siasatan awal mendapati suspek menerima rasuah berjumlah melebihi RM300,000 daripada pemilik-pemilik syarikat bagi pembinaan satu projek lebuh raya di Lembah Klang yang bernilai kira-kira RM6 bilion,” kata sumber.
Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM Hishamuddin Hashim ketika mengesahkan tangkapan tersebut berkata, siasatan dijalankan bawah Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009.
Dilaporkan bulan lepas, lapan individu termasuk seorang ketua pegawai eksekutif bersama dua pengurusan tertinggi sebuah syarikat konsesi lebuh raya ditahan sebelum direman kerana dipercayai meminta dan menerima rasuah berhubung pembinaan dua projek lebuh raya di Lembah Klang bernilai lebih RM1.6 bilion.
Awal bulan ini, seorang pengerusi dan seorang pengarah syarikat subkontraktor turut direman berhubung kes itu.