Komen jelik sesi Parlimen di TikTok, SKMM panggil 2 suspek

Komen jelik sesi Parlimen di TikTok, SKMM panggil 2 suspek

Suspek dipanggil untuk dirakam keterangan semalam selepas SKMM menerima aduan daripada orang awam.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia turut merampas kad sim dan satu unit telefon bimbit milik suspek berkenaan. (Gambar SKMM)
PETALING JAYA:
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) merakam percakapan dua suspek berkait komen jelik dan bersifat provokatif menerusi siaran ulangan sesi Parlimen di TikTok, Selasa lalu.

SKMM berkata, pihaknya menyerahkan notis kehadiran kepada suspek terbabit selepas menerima aduan orang awam dan keterangan mereka dirakam semalam.

“Kad sim dan satu unit telefon bimbit milik mereka turut dirampas dan disita bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga satu tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

SKMM juga mengingatkan orang ramai tidak menyalahgunakan perkhidmatan rangkaian dan aplikasi dalam talian untuk membuat sebarang hantaran dan komunikasi bertentangan undang-undang negara.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.