
Beliau berkata, teknologi itu kini diaplikasikan beberapa agensi di bawah kementeriannya seperti Jabatan Alam Sekitar (JAS), Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM), Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) serta Jabatan Ukur dan Pemetaan (Jupem).
“Maka, dengan adanya dron, walaupun ia tidak 100%, tetapi ia sangat membantu kerja, ia beri kelebihan dan bantu kita laksana tugas dengan cekap.
“Suatu ketika dahulu, JAS dengan kerjasama Jupem menggunakan dron untuk mengesan kawasan pembuangan sisa-sisa bauksit di Kuantan, Pahang. Maklumat dijana banyak membantu pihak berwajib membuat keputusan dalam menangani isu berkaitan bauksit,” katanya berucap merasmikan Simposium Dron Kebangsaan 2024.
Sementara itu, Nik Nazmi berkata, perkembangan teknologi khususnya membabitkan dron mengubah landskap industri dan perkhidmatan awam di peringkat global, termasuk Malaysia.
“Pada waktu ini, teknologi dron digunakan untuk menjalankan pelbagai fungsi strategik dan bukan strategik. Keupayaan dron bagi melaksanakan tugas berisiko dan mencabar dalam tempoh singkat membuka peluang baharu untuk meningkatkan keberkesanan dalam pelbagai bidang.”
Beliau turut mengingatkan semua pihak untuk memanfaatkan teknologi itu dengan bijak dan bertanggungjawab, malah dron yang ingin diterbangkan bagi tujuan kerja udara hendaklah mendapat permit Pihak Berkuasa Penerbangan Awam (CAAM).
“Dron tidak boleh disalah guna bagi aktiviti menyalahi undang-undang serta tidak bermoral seperti menceroboh hak privasi individu, mengancam keselamatan awam, membahayakan operasi penerbangan dan keselamatan negara.”
Beliau dalam sidang media berkata, pihaknya akan mempertingkatkan teknologi dron mengikut perkembangan semasa, terutama berkaitan tugas pemantauan alam sekitar.