3 jurusolek lelaki mengaku tak salah rompak kenalan

3 jurusolek lelaki mengaku tak salah rompak kenalan

Mereka didakwa merompak beg sandang mengandungi dokumen dan wang RM1,500 di Wangsa Maju pada 10 Julai lepas.

gavel
Erwanshah Mohd Ali Syafie, 26, Mohammad Fauzi Baladius, 22, dan Jaidy Tahir, 23, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini atas tuduhan mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan. (Gambar fail)
KUALA LUMPUR:
Tiga jurusolek lelaki berperwatakan wanita mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen hari ini atas tuduhan melakukan rompakan berkumpulan ke atas kenalan mereka minggu lepas.

Erwanshah Mohd Ali Syafie, 26, Mohammad Fauzi Baladius, 22, dan Jaidy Tahir, 23, didakwa merompak beg sandang mengandungi dokumen dan wang tunai RM1,500 milik Mohamad Zulhilmie Ongkim, 26, di belakang sebuah kelab malam di Jalan Peel Off Jalan Shelly, Wangsa Maju pada 5.20 pagi, 10 Julai lepas.

Kesemua mereka didakwa mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan denda dan sebat, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Muhairi Mohamed Noh menawarkan jaminan RM12,000 dengan seorang penjamin bagi setiap tertuduh.

Bagaimanapun, peguam Adila Aziz yang mewakili kesemua tertuduh memohon jaminan rendah dengan alasan anak guamnya yang bekerja sebagai jurusolek bebas tidak mempunyai pendapatan tetap.

Hakim Azrol Abdullah membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 22 Ogos ini untuk sebutan kes.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.