Tuduh Rayer anti-Islam, Ahli Parlimen PAS diarah keluar Dewan

Tuduh Rayer anti-Islam, Ahli Parlimen PAS diarah keluar Dewan

Awang Hashim diarah keluar Dewan Rakyat selepas enggan tarik balik tuduhan Ahli Parlimen Jelutong anti-Islam.

awang hashim
Ahli Parlimen Pendang Awang Hashim digantung tiga hari daripada Dewan Rakyat. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Ahli Parlimen Pendang daripada PAS Awang Hashim diarah keluar Dewan Rakyat dan digantung tiga hari selepas enggan menarik balik tuduhan RSN Rayer (PH-Jelutong) anti-Islam.

Arahan itu dikeluarkan Timbalan Speaker Dewan Rakyat Ramli Mohd Nor.

Terdahulu, Rayer meminta Ahli Parlimen pembangkang menarik balik kenyataan ‘enam jahanam’ terhadap bekas wakil rakyat Bersatu yang menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Rayer berkata, perkataan itu turut digunakan Awang Khamis lalu dan ia disifatkan kesalahan merujuk Peraturan Mesyuarat 36(4), 36(6) dan 36(12).

“Beliau merupakan (Ahli Parlimen) daripada PAS (dan) beragama Islam. Tidak baik menjahanamkan mereka,” katanya.

Bagaimanapun, Ahli Parlimen PN itu mencelah dan mendakwa Rayer anti-Islam berikutan sebelum ini pernah membantah keputusan Kedah menutup sepenuhnya premis perjudian bermula 1 Jan 2023.

Awang juga enggan menarik balik dakwaan Rayer anti-Islam selepas diminta berulang kali oleh Ramli.

“Saya minta maaf, saya tidak akan tarik balik. Memang Jelutong anti-Islam,” katanya.

Ramli kemudian menyambung persidangan dan meminta Rayer membuat usul perkara dibangkitkan mengenai perkataan ‘enam jahanam’ yang digunakan di Dewan Rakyat.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.