
Lau berkata, dakwaan ketua pembangkang Selangor itu bahawa beliau tidak profesional, tidak adil dan berat sebelah serta bertindak tidak mengikut Perlembagaan dan undang-undang ketika membuat keputusan adalah salah dan tidak boleh dipandang remeh.
Mengenai status Adun Selat Klang, beliau berkata, Abdul Rashid dan Azmin telah diberikan peluang memberi kenyataan, mengemukakan dokumen serta bukti berhubung dakwaan kekosongan luar jangka kerusi itu sebelum keputusan dibuat.
“Penjelasan telah diberi bagaimana keputusan itu dicapai. Fungsi speaker bawah Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor disifat sebagai ‘functus officio’ (tugas yang sudah selesai dilaksanakan),” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Lau memberitahu sidang DUN Selangor pada 11 Julai lepas bahawa tidak berlaku kekosongan luar jangka bagi kerusi DUN Selat Klang selepas tiada bukti mencukupi untuk mengesahkan kekosongan luar jangka itu.
Berhubung dakwaan sidang DUN yang sepatutnya berlangsung 10 hari, iaitu dari 4 hingga 18 Julai yang dipendekkan kepada lima hari, Lau berkata, ia mengambil kira Menteri Besar Amirudin Shari yang akan mengiringi Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah bagi menghadiri Mesyuarat Majlis Raja-Raja Melayu dan Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-17.
Katanya, beliau yakin Azmin yang pernah mengetuai kerajaan negeri faham tentang tugas menteri besar berhubung Mesyuarat Majlis Raja-Raja Melayu ke-266 yang akan berlangsung pada 17 hingga 18 Julai, dan Istiadat Pertabalan Agong pada 20 Julai.
Lau berkata, walaupun tiada sebarang rang undang-undang dibentangkan dalam sidang kali ini, masa persidangan tetap dipanjangkan setiap hari, iaitu penambahan antara satu hingga dua jam sehari, menjadikan jumlah masa dari segi jam melebihi seminggu.
Berdasarkan penjelasan itu, katanya, dapat disimpulkan dakwaan Azmin adalah salah dan tidak profesional.
“Yang Berhormat Ketua Pembangkang perlu mengakui kesilapan-kesilapan ini, menarik balik kenyataan-kenyataan yang salah dan memohon maaf,” katanya.