Ramai lepasan SPM rayu masuk KPTM, kata pengerusi Mara

Ramai lepasan SPM rayu masuk KPTM, kata pengerusi Mara

Asyraf Wajdi Dusuki berkata ketika ini hanya hanya Kolej Poly-Tech Mara Ipoh dan Kuantan yang masih ada kekosongan.

Pengerusi Mara Asyraf Wajdi Dusuki berkata ramai pemohon membuat rayuan untuk mendapatkan tempat di KPTM dengan jumlah pengambilan kini hampir 100%. (Gambar KPTM)
PETALING JAYA:
Kolej Poly-Tech Mara (KPTM) menjadi rebutan bagi lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang ingin melanjutkan pelajaran apabila hanya dua daripada tujuh kampus sahaja yang merekodkan kekosongan bagi pengambilan baharu.

Pengerusi Mara, Asyraf Wajdi Dusuki, berkata beliau dimaklumkan ramai pemohon membuat rayuan untuk mendapatkan tempat di KPTM dengan jumlah pengambilan kini hampir 100%.

“Lepas Subuh baca mesej, ramai merayu Kolej Poly-Tech MARA (KPTM). Saya dimaklumkan CEO KPTM, hanya KPTM Ipoh dan KPTM Kuantan yang masih ada (kekosongan) tidak sampai 50 tempat sahaja lagi. Ramai nak masuk Mara.

“Untuk KPTM Ipoh, ada 54 sahaja lagi kekosongan. Untuk KPTM Kuantan hanya berbaki 20 tempat sahaja,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Ketika ini jumlah pengambilan pelajar baharu di KPTM Kuantan mencapai 97% dengan hanya 20 kekosongan daripada 720 keseluruhan manakala pengambilan di KPTM Ipoh pula mencecah 92% dengan 54 kekosongan daripada 660 tempat.

Institusi pendidikan kendalian Mara itu mempunyai tujuh kampus cawangan serta satu kolej universiti.

Sementara itu, Asyraf Wajdi berkata pihaknya sudah meminta pihak pengurusan institusi pendidikan itu memastikan kebajikan pelajar diambil kira dengan serius.

“Kalau ada sebarang keluhan, segera dan cuba sedaya upaya untuk tangani dan selesaikannya. Jika ada implikasi kewangan maklumkan kepada pihak Mara segera.

“Insya-Allah saya akan bawa ke peringkat Majlis Mara dengan segera untuk diperhalusi dan dibantu,” katanya.

Menurutnya, Mara akan berusaha sedaya upaya untuk aktif berkolaborasi dengan industri dan memastikan kurikulum serta modul yang ditawarkan relevan dan ada nilai tambah.

Katanya, pengiktirafan profesional daripada industri juga penting bagi membolehkan pelajar mendapat pekerjaan dengan gaji setimpal sebaik tamat pengajian.

Beliau berkata Mara masih mengekalkan peratusan kebolehpasaran graduan institusi pendidikan Mara (Ipma) melebihi 95% iaitu lebih tinggi berbanding institusi pendidikan lain.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.