
Ketua Polis Kemaman, Hanyan Ramlan berkata, warga emas 75 tahun itu dibebaskan petang tadi.
Menurutnya, pekebun itu ke IPD Kemaman kira-kira 2 petang tadi bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 31 (1) Akta Kanak-kanak 2001 dan Seksyen 284 Kanun Keseksaan.
“Siasatan lanjut berhubung kejadian itu masih dilakukan, termasuk mengenal pasti racun yang digunakan,” katanya menurut Harian Metro.
Jumaat lalu, Mohd Daynail Haikal Alias, 13, dilaporkan pengsan selepas memakan biskut beracun di kawasan kebun di Kampung Dadong Air Puteh kira-kira 1.45 tengah hari Jumaat lalu.
Mangsa kemudian dikejarkan ke Klinik Kesihatan Air Puteh sebelum dirujuk ke Hospital Kemaman untuk rawatan lanjut.
Terdahulu, Alias Saras, 57, dipetik Harian Metro berkata, anaknya semakin pulih dan akan dibenarkan keluar wad pada bila-bila masa.