Kok ‘kesal’ tanah di Taman Desa dijual

Kok ‘kesal’ tanah di Taman Desa dijual

Ahli Parlimen Seputeh itu berkata, beliau tidak ‘diberitahu' mengenai perjanjian penjualan tanah antara DBKL dengan Mah Sing Group.

Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok berkata, tindakan kerajaan ‘tidak masuk akal’ kerana tanah seluas 6.17 ekar di Taman Desa itu telah dijual dua kali oleh DBKL.
PETALING JAYA:
Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok kesal dengan keputusan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menjual tanah seluas 2.5 hektar (6.17 ekar) di Taman Desa kepada Mah Sing Group Bhd untuk pembangunan perumahan berkepadatan tinggi.

Kok berkata, beliau tidak ‘diberitahu dan dilibat urus’ berhubung kelulusan penjualan tanah itu, dan hanya menyedarinya selepas Mah Sing mengumumkan perjanjian RM108 juta itu pada Rabu lepas.

Menurutnya, syarikat itu merancang membangunkan tanah itu dalam dua fasa, dengan fasa pertama melibatkan pembinaan M Aspira, yang mempunyai lebih 1,600 unit pangsapuri servis, di atas tanah seluas 3.7 ekar.

Fasa kedua melibatkan pembinaan 800 rumah mampu milik bawah nama Residensi Madani, di atas baki 2.47 ekar lagi.

“Plot tanah yang dijual oleh DBKL kepada Mah Sing Group tersebut ialah tanah yang pernah diambil balik daripada syarikat pemaju Aset Kayamas oleh kerajaan ketika Khalid Samad memegang jawatan menteri Wilayah Persekutuan,” katanya.

Kok berkata, Khalid membuat keputusan sedemikian setelah mengambil kira aduan mengenai ‘pembangunan berlebihan’ daripada penduduk Taman Desa.

Pada waktu itu, katanya, kerajaan berhasrat membangunkan kawasan lapang tersebut sebagai taman rekreasi dan riadah bagi penduduk Taman Desa, tetapi rancangan itu dibatalkan dan kini digantikan dengan ‘pembangunan yang lebih pesat’.

Beliau berkata, tindakan kerajaan sekarang ‘tidak masuk akal’ kerana tanah tersebut telah dijual dua kali oleh DBKL.

“Rancangan pembangunan yang telah dibatalkan dihidupkan semula dengan tanah dianugerah kepada syarikat pemaju yang lain,” katanya.

Sehubungan itu, Kok menggesa penduduk di sekitar tapak cadangan projek itu menghantar bantahan kepada DBKL melalui e-mel sebelum 21 Julai.

Terdahulu, Mah Sing memaklumkan, nilai pembangunan kasar projek yang dicadangkan itu dianggarkan sebanyak RM1.01 bilion.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.