
Pusat Galen untuk Dasar Kesihatan dan Sosial berkata, BNM harus bertanggungjawab menetapkan had bayaran bersama supaya pemegang polisi tidak dikenakan bayaran terlalu tinggi sehingga mereka terpaksa meminjam dengan bank atau mengeluarkan simpanan KWSP untuk menampung kos perubatan.

Ketua pegawai eksekutifnya, Azrul Khalib berkata, perlu ada pilihan bagi bank pusat itu menyemak semula had bayaran bersama secara berkala.
Pandangannya bertentangan dengan Saidah Asilah Abdul Shukor, penasihat kewangan berlesen BNM, yang percaya pemegang polisi mungkin tidak akan dikenakan caj yang berlebihan.
Mulai 1 Sept, syarikat insurans dikehendaki memberi pilihan kepada pemegang polisi untuk menanggung sebahagian bil hospital mereka sebagai ganti premium lebih rendah bagi insurans kesihatan.
Bawah inisiatif pembayaran bersama ini, kuantum minimum ditetapkan pada 5% daripada jumlah keseluruhan yang boleh dituntut atau RM500, mana-mana lebih tinggi.
Bagaimanapun, penanggung insurans dibenarkan menetapkan had pada jumlah yang perlu dibayar oleh pemegang polisi.
Azrul berkata, penetapan had akan melindungi pemegang polisi dan peserta takaful dengan memastikan terdapat had atas kepada pendedahan risiko mereka.
Ini memastikan mereka tidak membayar jumlah terlalu tinggi bagi bil perubatan, katanya kepada FMT. BNM tidak seharusnya menyerahkan kepada penanggung insurans untuk menentukan had.
Rasionalnya, dengan memilih pakej pembayaran bersama, pemegang polisi akan membayar premium insurans yang lebih rendah. Bagaimanapun, ini juga bermakna, mereka perlu membayar sebahagian bil perubatan mereka.
Saidah menjangkakan penyedia insurans menghadkan kuantum tanggungjawab pemegang polisi pada tahap yang munasabah.
Sebagai contoh, penanggung insurans mungkin menawarkan bayaran bersama 10% tetapi menghadkannya pada RM1,000. Jadi bagi bil berjumlah RM60,000, pemegang polisi hanya membayar RM1,000, bukan RM6,000, katanya kepada FMT.
Bagaimanapun, katanya, mereka yang ingin mendaftar untuk perlindungan insurans kesihatan harus menyemak kontrak dengan teliti dan membandingkannya dengan tawaran penyedia insurans lain sebelum memuktamadkannya.