
Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad berkata pihak Jabatan Peguam Negara kini sedang di peringkat akhir penelitian berhubung perkara berkenaan.
“Insya-Allah, sejurus Jabatan Peguam Negara mengesahkan, kita akan terus laksanakan dari segi peraturan dan perintah ini,” katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian program Jelajah Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) dan Karnival Perlis Hebat: Sihat Milik Semua.
Majlis perasmian itu disempurnakan Pemangku Raja Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail. Turut berangkat Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.
Dalam satu kenyataan semalam, Kementerian Kesihatan (KKM) memandang serius aduan berkaitan penjualan rokok elektronik atau vape menerusi mesin layan diri yang tular di aplikasi X pada Rabu lepas.
Sementara itu, ketika berucap pada majlis perasmian berkenaan Dzulkefly berkata Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) tahun lepas mendedahkan status kesihatan rakyat di negara ini membimbangkan khususnya bagi penyakit tidak berjangkit (NCD).
Beliau berkata 29.2% atau satu daripada tiga dewasa di Malaysia menghidap penyakit darah tinggi manakala 33.3% atau satu daripada tiga dewasa pula menghidap penyakit kolesterol tinggi.
“Sebanyak 15.6% atau satu daripada enam dewasa menghidap kencing manis dan 54.4% rakyat Malaysia (atau satu dalam dua) mengalami berlebihan berat badan yang menunjukkan trend peningkatan berbanding tinjauan 2011, 2015 dan 2019,” katanya.
Justeru katanya ANMS merupakan inisiatif kerajaan bagi meningkatkan taraf kesihatan dengan matlamat utama menjadikan rakyat Malaysia sihat sejahtera melalui pembudayaan hidup sihat.