Muhyiddin bayang tiada pertandingan ‘top 5’ Bersatu

Muhyiddin bayang tiada pertandingan ‘top 5’ Bersatu

Presiden Bersatu berkata keputusan itu dibuat selepas kata sepakat dicapai bagi mengelakkan perpecahan.

Muhyiddin Yassin berucap dalam Konvensyen Bersatu di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC), Selayang.
SELAYANG:
Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin membayangkan tiada pertandingan jawatan tertinggi parti pada pemilihan Oktober ini susulan kata sepakat dicapai selepas rundingan diadakan.

Beliau berkata, terdapat usul beberapa bulan lalu yang memintanya ‘campur tangan’ untuk berunding mengenai perkara itu bagi mengelakkan perpecahan.

“Saya telah mendapat ilham supaya apa pun jawatan tertinggi mungkin dapat kita elakkan daripada pertembungan.

“Keputusan ini terbukti wujudnya semangat bertolak ansur dalam kerabat kepimpinan tinggi untuk memberi bantuan atau kesempatan kepada pemimpin lain,” katanya ketika berucap dalam Konvensyen Bersatu di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC).

Muhyiddin berkata, perkara itu akan diumumkan sebelum pencalonan.

“Bila sampai masa saya umumkan nanti, harap semua akan beri sokongan 100%,” katanya.

Pertandingan bagi jawatan timbalan presiden dijangka menjadi tumpuan pada pemilihan Bersatu Oktober ini selepas Muhyiddin disah mengekalkan kedudukannya.

Ahmad Faizal Azumu, penyandang sejak 2020 dikatakan bakal dicabar Setiausaha Agung Hamzah Zainudin yang dijangka dibenarkan bertanding mengikut Fasal 14.14 dan 14.16 walaupun sebelum ini tidak layak bertanding lima jawatan utama kerana belum cukup dua penggal sebagai ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT).

Bagi jawatan naib presiden Bersatu, sekurang-kurangnya 10 pemimpin berhasrat mengintai kerusi itu antaranya Ketua Penerangan Razali Idris, Ahli MPT Wan Saiful Wan Jan, Saifuddin Abdullah dan Rafiq Abdullah.

Ahli Parlimen Putrajaya Radzi Jidin dan Ahli Parlimen Beluran Ronald Kiandee dijangka bertanding mempertahankan jawatan naib presiden.

Manakala Ahli Parlimen Masjid Tanah Mas Ermieyati Samsudin dijangka mencabar Rina Harun sebagai ketua Wanita dan Adun Gombak Setia Hilman Idham dikatakan calon utama mengisi jawatan ketua Pemuda, menggantikan Wan Ahmad Fayshal Wan Ahmad Kamal.

Sementara itu, dalam ucapannya Muhyiddin mengingatkan ahli Bersatu tidak berpecah-belah dan bermusuh pada pemilihan parti kelak.

Katanya, pihak yang menang mesti memegang amanah dan kalah terus berperanan dalam parti.

“Kalau parti kita bermusuh sesama sendiri dan lemah, sudah tentu rakyat tidak akan percaya kepada kita. Tapi kalau kita bersatu-padu, pasti rakyat akan memberikan kepercayaan untuk memimpin negara dalam PRU16 nanti,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.