Gagal ikut piawai bomba faktor pusat tahfiz tak daftar, kata Zahid

Gagal ikut piawai bomba faktor pusat tahfiz tak daftar, kata Zahid

Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamidi berkata perkara itu amat membimbangkan terutama sekiranya berlaku insiden yang tidak diingini.

Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamidi berkata banyak pusat tahfiz yang tidak didaftarkan kerana syarat yang ditentukan bomba tidak dapat diikuti. (Gambar Bernama)
KUALA NERUS:
Tidak dapat mengikuti syarat dan piawaian keselamatan yang ditetapkan bomba merupakan antara faktor masih banyak pusat tahfiz di negara ini yang tidak berdaftar, kata Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamidi.

Beliau berkata perkara itu amat membimbangkan terutama sekiranya berlaku insiden yang tidak diingini sehingga membahayakan nyawa pelajar.

“Di seluruh negara kini terdapat 1,199 maahad tahfiz yang berdaftar dengan jumlah huffaz dapat dilahirkan seramai 125,000 orang, namun lebih banyak maahad tahfiz yang tidak didaftarkan kerana syarat yang ditentukan bomba tidak dapat diikuti.

“Ini menimbulkan kekhuatiran jika berlaku kebakaran atau sebarang insiden sebagaimana yang pernah kita lihat di (pusat tahfiz) di Keramat yang menyebabkan pelajar terperangkap dalam kebakaran,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Pelancaran Program Pra Tahfiz Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) Negeri Terengganu, di Dewan Sultan Mizan Universiti Malaysia Terengganu.

Sementara itu Zahid yang juga menteri kemajuan desa dan wilayah berkata lebih 140,000 murid taman bimbingan kanak-kanak (Tabika) Kemas di seluruh negara dapat dilahirkan sebagai huffaz cilik menjelang 2026 melalui Program Pra Tahfiz.

Beliau berkata Program Pra Tahfiz yang bermula secara rasmi pada tahun ini bukan sahaja menyuntik konsep kesyumulan Islam di peringkat pendidikan awal, namun ia dapat mempersiapkan murid-murid dalam mendepani cabaran dunia digital dan teknologi masa kini.

Tabika Pra Tahfiz Kemas adalah program untuk memperkasakan Pendidikan al-Quran selain memberi nilai tambah kepada modul sedia ada (Program Penghayatan Islam) di Tabika Kemas.

Ia merangkumi aspek Pendidikan al-Quran dalam melahirkan huffaz cilik yang menguasai hafazan al-Quran bagi surah-surah dalam juzuk amma dan surah pilihan dengan Bacaan (Qiraat) Adab dan Tadabbur.

Program itu turut menjadi antara Hala Tuju Strategik, Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah 2023 dalam Membangun Modal Insan Desa Secara Komprehensif bagi memperkasakan Pendidikan al-Quran kepada kanak-kanak.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.