Dakwaan 11 Ahli Parlimen BN alih sokong sekadar takutkan kerajaan, kata penganalisis

Dakwaan 11 Ahli Parlimen BN alih sokong sekadar takutkan kerajaan, kata penganalisis

Mazlan Ali berkata cubaan menjatuhkan kerajaan oleh 'sebahagian kecil Ahli Parlimen' seperti didakwa Annuar Musa daripada PAS tidak mungkin berjaya.

Kerajaan perpaduan pimpinan Anwar Ibrahim menikmati sokongan ‘agak selesa’ di Dewan Rakyat. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Pemerhati politik berpendapat dakwaan seorang pemimpin PAS akan wujud gerakan 11 Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) berpaling tadah hanya cubaan menekan Anwar Ibrahim daripada terus fokus mentadbir negara.

Mazlan Ali dari Universiti Teknologi Malaysia berkata, cubaan menjatuhkan kerajaan oleh ‘sebahagian kecil Ahli Parlimen’ tidak mungkin berjaya kerana akta antilompat parti dikuat kuasa Oktober 2022 itu memerlukan sokongan secara en bloc oleh sesebuah parti.

“Jika betul wujud gerakan daripada BN untuk berpaling tadah, ia boleh berlaku sekiranya presiden parti setuju untuk keluar dan menarik diri daripada kerajaan perpaduan.

“Maksudnya semua 30 Ahli Parlimen BN secara konsensus keluar kerajaan…itu boleh berlaku (jatuh kerajaan) tetapi kalau hanya beberapa orang saja yang nak keluar daripada kerajaan, tetapi tidak direstui oleh parti dan presiden Umno…tak boleh juga,” katanya kepada FMT.

Beliau mengulas dakwaan Ahli Jawatankuasa PAS Annuar Musa pada 29 Jun lalu bahawa 11 Ahli Parlimen BN diikuti wakil rakyat Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Warisan akan alih sokongan jika Speaker Dewan Rakyat Johari Abdul tidak mengosongkan enam kerusi wakil rakyat Bersatu berpaling tadah.

Selasa lalu, Johari memutuskan Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Zahari Kechik (Jeli), Suhaili Abdul Rahman (Labuan), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Dr Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang) tidak perlu mengosongkan kerusi.

Syaza Shukri dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia bagaimanapun samar terhadap dakwaan Annuar sambil menyifatkan usaha itu sukar dilaksanakan dalam tempoh terdekat.

“Dakwaan 11 Ahli Parlimen BN alih sokongan kurang berasas kerana ia mungkin hanya cubaan untuk menakut-nakutkan kerajaan perpaduan dan perdana menteri,” katanya.

Dalam pada itu, Mazlan berpandangan jika sentimen ‘tebuk atap’ terus dimainkan pemimpin politik, ia seolah-olah mencemar titah Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim yang enggan melayan permintaan mana-mana pihak untuk menggugat kestabilan.

“Jika ada siapa-siapa nak tebuk atap mungkin istana tak akan perkenan,” katanya.

Bagaimanapun, Ariff Aizuddin Azlan dari Universiti Teknologi Mara tidak menolak keputusan membabitkan enam bekas Ahli Parlimen Bersatu yang menyokong kerajaan bakal ‘melorongkan’ kepada mana-mana wakil rakyat bertindak membelakangi parti.

“Ini melibatkan persoalan moral yang perlu diberikan perhatian teliti kerana apa diumumkan speaker tempoh hari secara tidak langsung mewujudkan ‘precedent’ (duluan),” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.