
“Kalau ada isu teknikal atau kelompangan dari segi akta itu, kalau perlu kita perbaiki kita perbaiki,” katanya lapor Buletin TV3.
Johari juga berkata perbuatan melompat parti apabila sudah memenangi sesuatu kerusi atas tiket mana-mana parti tidak boleh digalakkan.
“(Jadi) Jangan gunakan isu teknikal untuk lari daripada itu (isu sebenar),” katanya.
Semalam, Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata kerajaan sedia berbincang meminda akta antilompat parti untuk menutup kelompangan pada undang-undang itu.
Beberapa pihak sebelum ini mencadangkan agar akta antilompat parti dipinda selepas speaker Dewan Rakyat Johari Abdul memutuskan enam Ahli Parlimen berpaling tadah daripada Bersatu tidak perlu mengosongkan kerusi.
Penyandang kerusi itu Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Zahari Kechik (Jeli) dan Suhaili Abdul Rahman (Labuan), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Dr Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang).
Beliau menjelaskan Fasal 10.5 Perlembagaan Bersatu bertentangan dan menafikan hak Zahari, Azizi, Syed Hussin, Iskandar Dzulkarnain dan Dzulkafperi yang terjamin di bawah Perlembagaan Persekutuan, Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat serta Akta Majlis Parlimen (Keistimewaan dan Kuasa) 1952.
Berhubung status Suhaili, Johari menjelaskan beliau tidak mahu merosakkan kepentingan pihak berkaitan dalam kes saman wakil rakyat itu ke atas Bersatu yang difailkan di Mahkamah Shah Alam dengan keputusannya di bawah Perkara 49 (A) Perlembagaan Persekutuan.
Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin menyifatkan keputusan Johari bercanggah peruntukan Perkara 49A(3) Perlembagaan Persekutuan dan akan mencabarnya di mahkamah.
Keputusan itu dikritik segelintir pihak termasuk Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Saleh yang menyifatkan akta antilompat parti diluluskan di Parlimen sia-sia selepas wakil rakyat berpaling tadah terbabit tidak hilang kerusi.