
MRL mengulangi pelan perkongsian pasca pembinaan dengan CCCC kekal “seperti yang ada dalam pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) bagi fasa pengurusan, operasi dan penyelenggaraan ECRL pada April 2019.”
“Pelan itu selaras dengan kenyataan Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook baru-baru ini semasa persidangan khas Parlimen,” kata kenyataan.
MRL merupakan pemilik projek ECRL manakala CCCC bertanggungjawab sebagai kontraktor kejuruteraan, perolehan, pembinaan, dan pentauliahan (EPCC).
“Seterusnya, bagi operasi ECRL, sebuah syarikat usaha sama baharu antara MRL dan CCCC akan ditubuhkan,” kata MRL.
Perjanjian pemegang saham antara MRL dan CCCC untuk pemerbadanan syarikat usaha sama bagi mengambil alih peranan operator atau syarikat pengendali (OpCo), akan dimuktamadkan tahun ini.
“MRL dan CCCC masing-masing akan menanggung 50% daripada risiko dalam OpCo jika ECRL beroperasi pada defisit, sebaliknya, MRL akan menerima 80% daripada pendapatan, baki 20% menjadi hak CCCC, sekiranya ECRL beroperasi pada lebihan,” tambahnya.
MRL juga dilantik sebagai pemilik aset ECRL oleh kerajaan, selaras dengan rancangan April 2019, ini membuka jalan untuk MRL memeterai perjanjian operasi dengan OpCo, yang membolehkan OpCo mengakses aset ECRL bagi operasi dan penyelenggaraan.
Kerajaan akan memiliki 100% aset ECRL melalui MRL, memandangkan syarikat itu anak syarikat milik penuh Menteri Kewangan (Diperbadankan).
Selain itu, projek ECRL sepanjang 665km tersebut dijadualkan siap dari Kota Bharu, Kelantan ke Terminal Bersepadu Gombak, Selangor menjelang Disember 2026. Ia akan beroperasi pada Januari 2027.
Penyiapan sepenuhnya, melibatkan sambungan rel dari Gombak ke Pelabuhan Klang, dijangka pada Disember 2027.