
KKM dalam satu kenyataan berkata susulan aduan orang awam pihaknya telah turun bertemu dengan pihak pengurusan pusat membeli belah terlibat, dan bersetuju menutup operasi mesin layan diri itu.
“Mereka bersetuju serta akur dengan saranan tersebut,” kata KKM.
Pada 10 Jul, tular di aplikasi X apabila warganet mengkritik kemunculan mesin layan diri vape di tempat awam, selepas seorang pengguna media sosial berkongsi gambar mesin itu.
Semakan FMT mendapati pelanggan boleh membeli produk vape dengan mudah daripada mesin layan diri itu di pusat beli-belah.
Pelanggan hanya perlu memilih produk vape pilihan di antara muka skrin sentuh dan membayar menggunakan e-dompet seperti Boost, GrabPay atau Touch ‘n Go.
Selepas mengimbas kod QR dan mengesahkan pembayaran, mesin itu akan mengeluarkan produk vape dipilih kepada pengguna.
CEO Pusat Galen bagi Dasar Kesihatan dan Sosial Azrul Khalib menyifatkan ‘membimbangkan dan mengecewakan’ kerana penyedia mesin layan diri membenarkan produk mereka digunakan untuk penjualan produk vape.
Tinjauan Tembakau Dewasa Global 2023 mendapati penggunaan e-rokok atau vape dalam kalangan remaja berumur 15 hingga 24 tahun meningkat daripada 1.1% pada 2011 kepada 8.6% tahun lalu.
Dalam pada itu, KKM menjelaskan Seksyen 10 Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) melarang penjualan dan pameran semua produk merokok.
Menurutnya, peraturan berkaitan penjualan di mana larangan penjualan termasuk menerusi kaedah mesin layan diri adalah dilarang kini sedang diperhalusi dan akan dikuatkuasakan bersama Akta 852 setelah diluluskan.
“Selain itu, larangan penjualan rokok elektronik melalui mesin layan diri ini juga kesinambungan daripada larangan penjualan hasil tembakau seperti rokok, cerut dan tembakau lerai melalui mesin layan diri di bawah peraturan sedia ada iaitu Peraturan 10, Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT) 2004 di bawah Akta Makanan 1983,” katanya.
Kementerian itu berkata sebagai persediaan ke arah penguatkuasaan akta bersama peraturan dan perintah di bawahnya, KKM telah mengadakan siri taklimat penguatkuasaan Akta 852 kepada semua pegawai penguatkuasa KKM dan pihak berkuasa tempatan (PBT) di seluruh negara bermula 9 Jun.
“Ini adalah bagi memaklumkan tentang larangan-larangan yang terdapat di bawah Akta 852 dan peraturan di bawahnya termasuk larangan penjualan produk merokok melalui mesin layan diri,” katanya.