
“Kalau dia nak pinda, kita boleh bincang,” katanya ketika ditemui media selepas solat Jumaat di sini.
Bagaimanapun, Anwar berkata sebelum ini ketika Pakatan Harapan (PH) berada dalam pembangkang mencadangkan supaya mereka yang disingkirkan daripada parti perlu mengosongkan kerusi DUN atau Parlimen diwakilinya.
“Tapi tidak dipersetujui oleh kerajaan masa itu Bersatu…sebab masa itu orang Umno masuk parti dia.
“Dahulu dia menentang, ramai tak tahu PH usul supaya siapa sahaja ditolak parti automatik gugur (kerusi) tetapi dia tolak sehingga kita tolak ansur dan jadi undang-undang sekarang,” katanya.
Selasa lalu, Speaker Dewan Rakyat Johari Abdul memutuskan enam Ahli Parlimen berpaling tadah daripada Bersatu tidak perlu mengosongkan kerusi Perkara 49 (A) Perlembagaan Persekutuan yang dibuat untuk memastikan kestabilan politik.
Penyandang kerusi itu Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Zahari Kechik (Jeli) dan Suhaili Abdul Rahman (Labuan), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Dr Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang).
Beliau menjelaskan Fasal 10.5 Perlembagaan Bersatu bertentangan dan menafikan hak Zahari, Azizi, Syed Hussin, Iskandar Dzulkarnain dan Dzulkafperi yang terjamin di bawah Perlembagaan Persekutuan, Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat serta Akta Majlis Parlimen (Keistimewaan dan Kuasa) 1952.
Berhubung status Suhaili, Johari menjelaskan beliau tidak mahu merosakkan kepentingan pihak berkaitan dalam kes saman wakil rakyat itu ke atas Bersatu yang difailkan di Mahkamah Shah Alam dengan keputusannya di bawah Perkara 49 (A) Perlembagaan Persekutuan.
Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin menyifatkan keputusan Johari bercanggah peruntukan Perkara 49A(3) Perlembagaan Persekutuan dan akan mencabarnya di mahkamah.
Keputusan itu dikritik segelintir pihak termasuk Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Saleh yang menyifatkan akta antilompat parti diluluskan di Parlimen sia-sia selepas wakil rakyat berpaling tadah terbabit tidak hilang kerusi.