Pelajar 10A SPM ditawar tempat di matrikulasi Ogos ini

Pelajar 10A SPM ditawar tempat di matrikulasi Ogos ini

Menteri pendidikan berkata sehingga kini 4,165 pelajar ditawarkan tempat dalam program itu manakala 712 masih menunggu tawaran.

spm
Perdana menteri berkata pelajar mendapat 10A dalam SPM dijamin mendapat tempat di matrikulasi bermula pengambilan 2025, tanpa mengira bangsa atau latar belakang. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang memperoleh 10A dan belum menerima tawaran bagi program matrikulasi perlu menunggu sedikit masa lagi, kata Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek.

Fadhlina berkata, pelajar terbabit akan menerima tawaran penempatan matrikulasi pada minggu ketiga Ogos.

“Kenapa minggu ketiga Ogos? Kerana ada tawaran UPU (Unit Pusat Universiti) pada 6 Ogos (ini),” katanya di Dewan Rakyat.

Fadhlina berkata, kementerian berhasrat menawarkan pilihan kepada pelajar sama ada matrikulasi atau tempat di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) untuk pengajian diploma atau asasi.

Beliau menjawab soalan Chong Chien Jen (PH-Stampin) yang ingin tahu bilangan pelajar memperoleh 10A dalam SPM tetapi belum mendapat tempat di matrikulasi.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim sebelum ini mengumumkan pelajar mendapat 10A atau ke atas dalam peperiksaan SPM akan dijamin tempat di matrikulasi bermula pengambilan 2025, tanpa mengira bangsa atau latar belakang.

Fadhlina berkata 4,165 pelajar ditawarkan tempat dalam program itu manakala 712 masih menunggu tawaran.

“Pada pengambilan pertama 3,684 pelajar ditawarkan tempat termasuk 2,496 Bumiputera dan 1,188 bukan Bumiputera.

“Untuk pengambilan kedua 400 pelajar ditawarkan tempat, terdiri 33 Bumiputera dan 367 bukan Bumiputera,” katanya.

Beliau berkata, seramai 4,877 pelajar yang mendapat 10A atau ke atas, memohon program matrikulasi terdiri 2,610 pelajar Bumiputera dan 2,267 pelajar bukan Bumiputera.

Ketika mengumumkan dasar 10A, Anwar menjelaskan kuota Bumiputera sedia ada untuk program matrikulasi akan kekal.

Pada 2002, kerajaan memansuhkan kemasukan berasaskan kaum ke IPTA. Bagaimanapun, program matrikulasi masih mengekalkan kuota 90% untuk Bumiputera dan kursus asasi tertentu khusus untuk Bumiputera.

Fadhlina menegaskan komitmen kementerian untuk mengekalkan dasar kuota sedia ada.

“Kuota itu tetap komitmen kami juga, jadi tidak ada kebimbangan tentang bagaimana proses 90% dan 10% diuruskan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.