
Hakim Azrul Darus membenarkan permohonan itu selepas peguam M Puravalen memaklumkan Naimah memohon untuk mendapatkan pasport mulai Ahad ini hingga 25 Julai dan tidak dibantah pihak pendakwaan.
Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Fadhly Mohd Zamry mengesahkan perkara itu.
Sehubungan itu, mahkamah memerintahkan Naimah menyerahkan pasport kepada mahkamah selepas kembali ke Malaysia sebelum atau pada 27 Julai ini.
Berdasarkan afidavit sokongan permohonan itu yang diperoleh media, Naimah berkata, beliau perlu ke London untuk berjumpa peguamnya Dave Vasoodaven daripada Gulbenkian Andonian Solicitors dan Venice bagi Pameran Seni Antarabangsa La Biennale di Venezia dari 16 hingga 20 Julai ini.
“Saya menghadiri pameran seni ini dalam kapasiti saya sebagai pengerusi Lembaga Pemegang Amanah untuk Yayasan Ilham, sebuah yayasan bukan keuntungan yang ditubuhkan untuk menjalankan kerja filantropi dan amal, termasuk mempromosikan dan pertukaran seni, budaya serta pendidikan,” katanya dalam afidavit itu.
Menurutnya, pemilihan tarikh itu disebabkan temujanji ditetapkan berdasarkan masa lapang individu yang beliau akan jumpa dalam perjalanan terbabit.
Pada 23 Jan lalu, Naimah, 66, didakwa di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan gagal mematuhi notis agar mengisytiharkan hartanya, termasuk Menara Ilham serta beberapa aset lain di sekitar Kuala Lumpur dan Pulau Pinang.
Pada 29 Jan lalu, suaminya yang berusia 85 tahun turut didakwa atas pertuduhan sama, membabitkan satu akaun bank, tujuh kenderaan mewah, 38 syarikat dan 25 hartanah.
Pertuduhan terhadap mereka dikemukakan mengikut Seksyen 36(2) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda RM100,000, jika sabit kesalahan.