
Menurut Shabery, KPF akan mencairkan asetnya bagi membolehkan tuntutan melibatkan RM200 juta dibayar kepada ahli-ahli tersebut.
“KPF bukanlah koperasi berpenyakit, hutang banyak atau tiada sandaran aset. (Tapi KPF) ada aset yang besar bernilai RM4 billion,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Mesyuarat Agung Perwakilan Tahunan KPF di Dewan Perdana Felda, Kuala Lumpur.
“Cuma jadi isu, nak cari kecairan RM200 juta, jadi perkara ni kita akan susun balik kerana pegangan saham yang kecil-kecil tadi distrukturkan memberi pulangan kira-kira RM208 juta, cukup (untuk) selesai perkara tersebut.”
Pada Februari, media melaporkan sekumpulan ahli KPF menyerbu pejabat Felda menuntut penjelasan mengenai kelewatan pembayaran jualan saham dan dividen sejak tahun lepas.
KPF kemudian memberi jaminan akan menyelesaikan bayaran jualan saham ahlinya dari Februari hingga Julai 2023 menjelang akhir Mac lepas.
Bagi jualan saham selebihnya, bayaran akan dibuat secara berkala mengikut ketersediaan tunai, menurut KPF. Keutamaan akan diberikan kepada pemohon yang benar-benar memerlukan, tambahnya.
Dalam pada itu, Shabery menafikan dana KPF digunakan untuk menganjurkan Hari Peneroka Felda 2024 yang akan berlangsung selama tiga hari bermula esok di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (Maeps).
“Esok bermulanya sambutan Hari Peneroka, saya nak jelaskan ada banyak (pertikaian) yang timbul, kenapa dibuat besar-besaran.
“(Ada ahli KPF cakap) kami nak tebus saham KPF (tak dapat), tapi (boleh) buat sambutan besar-besaran. Saya tak minta satu sen pun daripada KPF dalam soal (penganjuran Hari Peneroka) ini,” katanya
Sementara itu, apabila ditanya punca terjadinya masalah aliran tunai KPF, pengerusinya, Raja Faridah Raja Ahmad berkata, perkara itu terjadi kerana ‘penebusan syer ahli melebihi jumlah langganan’.
“(Bagaimanapun) kita telah mula buat bayaran semalam,” katanya.
“Mulai semalam sebanyak RM17 juta dibayar melibatkan tuntutan kritikal, penyakit kritikal, bermasalah kewangan dan khairat kematian.”