Cadangan elaun pelajar Tingkatan 6 diharap bukan helah alih perhatian isu matrikulasi

Cadangan elaun pelajar Tingkatan 6 diharap bukan helah alih perhatian isu matrikulasi

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek dilaporkan berkata, cadangan penyediaan elaun kos sara hidup itu antara usaha penjenamaan semula pendidikan Tingkatan 6.

Kumpulan Ibu Bapa Bertindak Untuk Pendidikan mempersoalkan sama ada pemberian elaun kos sara hidup mampu menarik minat pelajar ke Tingkatan 6. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Sebuah kumpulan ibu bapa berharap cadangan pemberian elaun kos sara hidup kepada pelajar Tingkatan 6 bukan helah untuk mengalihkan perhatian isu penempatan matrikulasi dan kursus asasi kepada lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Pengerusi Kumpulan Ibu Bapa Bertindak Untuk Pendidikan (PAGE), Noor Azimah Abdul Rahim turut mempersoalkan sama ada pemberian elaun itu mampu menarik minat pelajar ke Tingkatan 6 kerana langkah sama pernah diperkenalkan kepada pelajar Bumiputera.

“Kami berpendapat pendekatan sebaiknya menguruskan hal ini ialah memperjelaskan laluan pilihan dengan lebih mendalam dan teliti kepada lepasan SPM agar mereka boleh membuat keputusan termaklum.

“Mereka harus dinasihati tentang cara terbaik memilih laluan sesuai untuk aspirasi dan cita-cita mereka,” katanya kepada FMT.

Selasa lalu, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek dilaporkan berkata kementeriannya sedang memperincikan cadangan menyediakan elaun kos sara hidup pelajar dan guru penolong kanan Tingkatan 6 sebelum dibawa ke peringkat belanjawan negara melalui Kementerian Kewangan.

Katanya, langkah itu antara usaha penjenamaan semula pendidikan Tingkatan 6, selain memastikan kualiti pendidikan itu diperluas dan dipertingkatkan.

Azimah berkata, selain matrikulasi dan program asasi universiti awam, ramai lepasan SPM turut memilih Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) yang mempunyai banyak kebaikan.

“Ia juga diterima untuk kemasukan ke universiti di luar negara dan lebih ekonomi daripada A-Level. Walaupun STPM mungkin mengambil masa setahun lebih lama daripada matrikulasi atau asasi, memilih kursus pra-universiti setahun seperti matrikulasi dan asasi ada juga kelemahannya.”

Beliau berkata, PAGE mengesyorkan kerajaan mengkaji semula tahap kemasukan pelajar dalam matrikulasi demi meningkatkan standardnya kerana pelajar pra-universiti perlu bersedia melangkah ke tahap tertiari lebih mencabar.

Pada 1 Julai lalu, Perdana Menteri, Anwar Ibrahim dilaporkan berkata, jaminan untuk semua lepasan SPM mendapat keputusan 10A ke program matrikulasi bagi mengurangkan ketegangan dalam sistem pendidikan negara.

Sementara itu, seorang wakil pelajar Tingkatan 6 berkata, cadangan penyediaan elaun kos sara hidup oleh Kementerian Pendidikan (KPM) mampu mengurangkan beban pelajar kurang berkemampuan.

Muhammad Hafiz Mansur Khan yang mengetuai Persatuan Tingkatan 6 Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Serdang berkata, elaun itu boleh digunakan pelajar untuk membeli buku.

“Ada pelajar Tingkatan 6 yang datang dari kawasan jauh. Jadi, pemberian elaun ini dapat menampung kos perjalanan mereka ke sekolah.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.