
Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil, berkata Sultan Ibrahim menitahkan perkara itu ketika beliau hadir dalam sesi mengadap Seri Paduka Baginda di Istana Negara pagi semalam, bagi menyembah maklum acara yang akan dijalankan sempena Istiadat Pertabalan Seri Paduka Baginda, pada 20 Julai.
Beliau berkata, pada sesi itu juga beliau turut menyembah maklum kepada Sultan Ibrahim berhubung kematian seorang pempengaruh wanita yang didakwa menjadi mangsa buli siber di Gombak Setia, Selangor, baru-baru ini.
“Selepas semua perkara formal itu selesai (ketika sesi menghadap) Tuanku bertitah mengenai kerisauan Seri Paduka Baginda tentang ‘masalah’ berkaitan media sosial.
“Tuanku titahkan Menteri Komunikasi dan SKMM mesti mengambil tindakan yang sangat tegas, jadi Tuanku sangat prihatin,” katanya menurut Bernama pada sesi bersama media di bangunan Parlimen.
Beliau berkata, Sultan Ibrahim turut mengulangi titah dengan mesej yang sama iaitu tidak menjadikan media sosial sebagai platform berbalah dan membuka aib kerana ia akan menjadi punca perpecahan dan persengketaan.
Sehubungan itu, Fahmi berkata kementerian itu bersama agensi lain akan memperkasakan segala usaha menjadikan media sosial platform selamat untuk digunakan.