160kg daging penyu kering cuba diseludup di Kudat

160kg daging penyu kering cuba diseludup di Kudat

Maritim Malaysia juga menemukan 500kg balat dalam 52 guni yang dicampak keluar dari bot oleh suspek di perairan Kudat.

seludup
Pegawai Maritim Malaysia bersama daging hidupan laut kering yang cuba diseludup keluar dari Sabah melalui perairan Kudat pada Ahad lepas. (Gambar APMM)
KOTA KINABALU:
Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menemukan 160kg daging penyu kering dalam 23 guni dipercayai cuba diseludup keluar dari Sabah melalui perairan Kudat pada Ahad lepas.

Pengarah Zon Maritim Kudat Komander Maritim Maurice Grenville Abeyeratne berkata, pihaknya juga menemukan 500kg balat (sejenis hidupan laut) dalam 52 guni.

Katanya, kedua-dua barangan itu dicampak keluar oleh suspek setelah bot peronda Maritim Malaysia menghampiri bot mereka.

Maurice berkata, Maritim Malaysia sebelum itu mengesan bot yang sedang melakukan kegiatan mencurigakan di kawasan pesisir timur Pantai Tanjung Kalutan, Kudat sekitar 5 petang.

“Semasa cuba menghampiri bot terbabit, suspek bertindak melarikan diri ke kawasan cetek bagi mengelak ditahan,” katanya.

Barangan rampasan dianggar bernilai RM200,000 diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk siasatan bawah Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar 1997.

Dalam kes berasingan, Maurice berkata, Maritim Malaysia menahan dua individu yang mengendalikan bot tanpa nombor pendaftaran di perairan 1.85 nautika tenggara Tagumamal Laut, Kudat, pada Sabtu lepas.

“Kedua-dua suspek ditahan bersama bot serta hasil tangkapan (disita),” katanya.

Maurice berkata, mereka disiasat bawah Akta Perikanan 1985 dan Enakmen Pelabuhan dan Dermaga Sabah 2002 kerana tidak mempunyai lesen perikanan dan menangkap ikan menggunakan peralatan yang tidak dibenarkan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.