Timbalan menteri mahu jurang laporan kewangan LPQB dikaji semula

Timbalan menteri mahu jurang laporan kewangan LPQB dikaji semula

M Kula Segaran mempersoalkan ketiadaan peruntukan LPA menghendaki lembaga itu melaporkan kewangannya.

m kulasegaran
M Kula Segaran berkata, beliau juga ‘hairan’ LPA tidak memperuntukkan LPQB melaporkan kewangannya. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) M Kula Segaran menggesa kewangan Lembaga Kelayakan Profesion Undang-undang (LPQB), yang mengendalikan peperiksaan Sijil Amalan Guaman (CLP), dibentangkan di Parlimen.

Kula menjawab pertanyaan Cha Kee Chin (PH-Rasah) mengapa akaun lembaga tersebut tidak pernah dibentangkan dan apa langkah yang diambil untuk membetulkan keadaan itu.

“Teguran YB bagus. Saya pohon satu penyiasatan dan laporan (mengenai kewangan LPQB) dibuat supaya perkara ini boleh diberitahu kpd YB,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau juga ‘hairan’ bawah Akta Profesion Undang-Undang (LPA) tidak diperuntukkan keperluan LPQB melaporkan kewangannya.

“Kalau rujuk LPA, sangat mengejutkan. Peguam dah draf, tetapi (jadi begitu). (Perkara ini) kena dikaji balik, pindaan dibuat supaya laporan bukan sahaja (dibentangkan kepada) lembaga, tetapi juga diberi kepada Parlimen.

“(Ini) supaya kita tahu berapa wang diterima, berapa dibelanjakan (memandangkan) sekarang mereka sahaja yang mengendalikan (peperiksaan CLP) tersebut,” katanya.

Terdahulu, Kula memberitahu Dewan Rakyat, dari 2017 hingga 2024, lembaga itu menerima lebih RM37 juta yuran pendaftaran daripada pemohon CLP.

Tambahnya, kos pentadbiran lembaga, termasuk penyediaan sukatan pelajaran, kertas soalan, kerja terjemahan, percetakan dan sewa dewan peperiksaan dari 2017 hingga 2023, berjumlah RM5,355,174.60.

Beliau berkata, kos ini tidak termasuk perbelanjaan operasi lain seperti gaji dan caruman kakitangan, sewa lot pejabat, bil utiliti dan faedah perubatan kakitangan.

Cha kemudian bertanya mengapa hanya angka bagi 2017 hingga 2024 didedahkan, sedangkan beliau sebelum ini meminta angka sejak 1984, tahun LPQB ditubuhkan.

Kula berkata, beliau telah meminta angka itu daripada LPQB tetapi diberitahu bahawa data itu ‘tidak wujud’.

Sementara itu, Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu) menyebut kes seorang lelaki berusia 52 tahun yang dinafikan peluang menduduki peperiksaan CLP selepas Mahkamah Tinggi memutuskan beliau gagal memenuhi kelayakan mengamalkan undang-undang di Malaysia .

FMT sebelum ini melaporkan, LPQB menolak permohonan A Suresh Kumar selepas beliau hanya memperoleh ‘compensated pass’ dalam undang-undang harta/tanah dari sebuah universiti di United Kingdom. Suresh sedang merayu perkara ini di Mahkamah Rayuan.

“Apa peranan kerajaan dalam memastikan keseimbangan antara syarat mengikut undang-undang dan belas kasihan terhadap pelajar yang memperoleh ijazah di luar negara?” soal Takiyuddin.

Kula berkata, kes Suresh boleh disemak semula, tetapi beliau menekankan keperluan untuk pelajar CLP mencapai markah yang bagus supaya mereka dapat menjalankan tugas sebagai peguam dengan betul.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.