Tiada salah urus dalam MRT Corp, kata Loke

Tiada salah urus dalam MRT Corp, kata Loke

Menteri pengangkutan berkata konteks perbelanjaan MRT adalah penting kerana laluan kereta api ini adalah projek kerajaan untuk manfaat jangka panjang.

MRT
Laporan Ketua Audit Negara mendedahkan MRT Corp mengalami kerugian sebelum cukai sebanyak RM181.5 juta pada 2023.
KUALA LUMPUR:
Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook menolak berlaku sebarang salah urus dalam Mass Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp) susulan penilaian Jabatan Audit Negara yang menyatakan kewangan pemilik projek dan pemaju aset itu ‘tidak stabil’.

Beliau berkata, isu kewangan MRT Corp tidak timbul memandangkan ia adalah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang disokong oleh kerajaan dan semua kewajipan kewangannya dijamin oleh Kementerian Kewangan.

Loke juga berkata, Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2024 mengambil kerugian ditanggung MRT Corp di luar konteks kerana MRT bertujuan untuk kebaikan awam dan berfungsi sebagai pemangkin ekonomi.

Menurut LKAN, MRT Corp mengalami kerugian RM181.5 juta sebelum cukai pada 2023. Laporan itu juga menyatakan syarikat tersebut menanggung kerugian terkumpul sebanyak RM57.624 bilion sejak ditubuhkan pada 2011.

“Kita tidak boleh hanya melihat prestasi kewangan sahaja kerana projek ini adalah untuk menjana pertumbuhan ekonomi dan memperbaiki keterhubungan.

“Saya tidak melihat sebarang salah urus dana,” katanya dalam sidang media apabila ditanya mengenai kemungkinan salah urus selepas kerugian ditanggung MRT.

“Kita perlu melihat manfaat jangka panjang apabila berkaitan dengan pembinaan infrastruktur seperti ini.”

Menurut LKAN, MRT diberi penilaian ‘memuaskan’ mengenai tadbir urus dan memenuhi objektif ditetapkan.

Terdahulu hari ini, perunding pengangkutan Wan Agyl Wan Hassan mempersoalkan klasifikasi LKAN yang menyatakan MRT Corp ‘kurang stabil dari segi kewangan’, dan berkata penemuan itu tidak mencerminkan sifat dan tujuan sebenar kewujudan syarikat.

Wan Agyl memberitahu FMT, MRT Corp ditubuhkan oleh kerajaan sebagai syarikat bertujuan khas untuk membangunkan dan memiliki semua aset yang terlibat dalam penyediaan perkhidmatan MRT di Lembah Klang.

‘Kerugian’ yang dirujuk dalam LKAN mencerminkan kos ditanggung dalam pembinaan laluan MRT1 dan MRT2 adalah besar, katanya.

Sementara itu, Loke berkata kerajaan tidak mempunyai rancangan untuk menaikkan harga tiket tren di Lembah Klang dalam masa terdekat.

“Terdapat cadangan tetapi melihat kepada situasi sekarang, kerajaan tidak merancang untuk melakukannya,” katanya merujuk kepada peningkatan kos sara hidup.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.