
Bekas ketua pegawai operasi, Ariff Farhan Doss, beritahu FMT pemecatannya susulan tuduhan bahawa beliau di sebalik laporan yang dibuat kepada Jabatan Audit Negara (JAN) dan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) yang menyentuh HRD Corp.
JAN dan PAC masing-masing melaporkan isu antaranya berkaitan prosedur dan penggunaan dana HRD, dalam laporan Khamis lalu.
Ariff berkata, pihak majikan memberikan surat tunjuk sebab kepadanya pada 4 April lalu, menuduh beliau melanggar kerahsiaan apabila membuat laporan kepada pihak berkuasa.
HRD Corp mendakwa aduan Ariff menyebabkan semua pegawai kanan syarikat ditemubual berhubung ‘dakwaan-dakwaan palsu’ yang mencemar nama baik syarikat dan kakitangannya.
Akibatnya, anggota pengurusan kanan HRD Corp terpaksa direhatkan semata-mata untuk menangani ‘aduan yang tidak berasas’, lalu membawa kepada pembaziran sumber syarikat.
Surat itu menyatakan Ariff mendakwa syarikat gagal mematuhi proses dan prosedur berkenaan penggunaan dana, serta membuat laporan tidak benar mengatakan syarikat menanggung kerugian dalam pelaburannya, walaupun beliau sedar dakwaan-dakwaan itu tidak berasas.
Ariff juga dituduh menyalahgunakan kuasa, serta kepercayaan dan keyakinan bahawa beliau akan menjaga kepentingan HRD Corp dan kakitangannya.
Beliau menafikan dakwaan HRD Corp dalam jawapannya pada 17 April, namun dipecat pada 15 Mei selepas syarikat berkata beliau tidak lagi dipercayai dan diyakini untuk melaksanakan tugas.
“Hari terakhir saya di HRD Corp ialah pada 15 Mei, dan salah satu sebabnya ialah kerana saya bercakap dengan PAC dan JAN. HRD Corp menuduh saya membuat laporan dengan mereka, tetapi tuduhan itu tidak benar,” kata Ariff.
“Mereka dakwa saya buat dakwaan tidak berasas tetapi Laporan Ketua Audit Negara dan laporan PAC belum pun diterbitkan. Saya tidak diberi surat amaran sebelum dipecat, serta tidak ada siasatan dalaman untuk meneliti keseluruhan isu itu.”
Menurut Akta Perhubungan Perusahaan (Akta 177), ketua pengarah perhubungan perusahaan boleh merujuk aduan berkenaan pemecatan yang menyalahi undang-undang kepada Mahkamah Perusahaan, sekiranya perkara itu tidak dapat diselesaikan secara pengantaraan.
HRd Corp bagaimanapun enggan menghadiri sesi pengantaraan yang dijadualkan pada 3 Julai, serta mendakwa bahawa ia, selaku badan berkanun, tidak dikehendaki berbuat demikian menurut Seksyen 52 Akta 177.
Namun Ariff mendakwa hujah tersebut tidak berasas.
“Semakan di Suruhanjaya Syarikat menunjukkan HRD Corp bukan badan berkanun tetapi didaftarkan sebagai sebuah syarikat berhad menurut jaminan.
“Senarai Kementerian Kewangan tentang badan-badan berkanun bawah Kementerian Sumber Manusia menunjukkan hanya dua entiti: Pertubuhan Keselamatan Sosial dan Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran,” katanya.
Ketua Audit Negara Wan Suraya Wan Mohd Radzi melaporkan suatu urusan melibatkan HRD Corp yang membabitkan deposit berjumlah RM120 juta.
Laporan itu turut menyentuh tadbir urus, termasuk berkait pelaburan RM3.727 bilion, apabila terdapat transaksi pelaburan mencatatkan kerugian tidak nyata berjumlah RM49.38 juta.
PAC pula melaporkan hasil kutipan levi daripada majikan digunakan untuk melabur dalam pelbagai aktiviti pelaburan.
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menubuhkan pasukan petugas untuk melihat isu dibangkitkan dalam LKAN.