
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, berkata beliau dihubungi wartawan terbabit selepas kejadian menimpa Esha atau nama sebenarnya A Rajeswari, 29, memaklumkan pembuli siber itu menggunakan akaun palsu.
“Mereka sangat takut kerana pembuli siber sanggup ambil gambar tempat tinggal, ahli keluarga…ini jenayah ugutan, ada kalangan mereka berselindung di sebalik akaun palsu.
“Bagi saya berani cakap berani hadap, kalau sembunyi belakang akaun palsu bermakna ada sesuatu yang tidak betul, kita perlu perbetulkannya,” katanya pada sidang media selepas pelancaran Pusat Pengalaman Kecerdasan Buatan (AI) di CelcomDigi Hub.
Fahmi memaklumkan, beliau mengarahkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) mengambil tindakan terhadap komen mengandungi unsur buli siber dan perkataan jelik di media sosial.
“Saya dah minta SKMM bertindak ke atas sejumlah individu..dalam live TikTok, Facebook yang keluar perkataan boleh ditafsirkan buli siber atau muat naik komen jelik dan komen langgar undang-undang.
“Perlu ada sempadan, semata-mata komen tak bermakna boleh lepas cakap, kita nak pastikan internet selamat digunakan kanak-kanak dan keluarga,” katanya.
Hari ini Ketua Polis Sentul, Ahmad Sukarno Mohd Zahari, memaklumkan pihaknya merakam keterangan sembilan individu berhubung kes Esha.
Semalam, seorang wanita tempatan ditahan bagi membantu siasatan berhubung fitnah dan ugutan terhadap Esha susulan laporan polis daripada seorang pengguna TikTok, Sabtu lalu.
Kes itu disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan (ugutan jenayah), Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia 1998 (menyebarkan kenyataan jelik) dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil (kelakuan aib).