Kerajaan dicadang bubar MPN susulan penemuan audit

Kerajaan dicadang bubar MPN susulan penemuan audit

Laporan Ketua Audit Negara mendedahkan penyalahgunaan dana Majlis Profesor Negara melibatkan ahli lembaga pemegang amanah.

Ahli Parlimen Jimmy Puah berkata wakil rakyat mempunyai harapan tinggi pada MPN namun terkilan susulan penemuan audit. (Gambar Facebook)
KUALA LUMPUR:
Seorang Ahli Parlimen mencadangkan kerajaan membubarkan Majlis Profesor Negara (MPN) selepas audit mendedahkan penyalahgunaan dana melibatkan ahli lembaga pemegang amanah.

“Bagi saya kita cakap tutup sahaja… bubar MPN. Biarlah jimat duit untuk rakyat,” kata Jimmy Puah (Tebrau-PH) ketika membahaskan Laporan Ketua Audit Negara di Dewan Rakyat.

Laporan Ketua Audit Negara 2/2024 mendapati dua ahli lembaga pemegang amanah tidak mengisytihar kepentingan sebagai pemilik saham kepada dua syarikat persendirian selaras dengan Akta Syarikat, dan berlaku penyalahgunaan dana MPN bagi pembiayaan operasi kepada dua syarikat tersebut berjumlah RM373,516.

Menurut laporan itu lagi, pembayaran elaun tetap pengerusi dan timbalan pengerusi MPN berjumlah RM207,000 juga dibuat tanpa kelulusan menteri yang dipertanggungjawabkan.

“Kita ada harapan tinggi dalam MPN tetapi terkilan dengan ini,” kata Puah.

MPN ditubuhkan pada 2010 bagi menggerakkan kepakaran tenaga akademik berpengalaman untuk membantu kerajaan dalam agenda pembangunan negara dan diletakkan bawah Kementerian Pengajian Tinggi.

Empat tahun kemudian organisasi itu dipindahkan ke Jabatan Perdana Menteri (JPM) sebelum diperbadankan bawah Akta Syarikat sebagai sebuah syarikat berhad menurut jaminan.

Pada 29 Mei 2019, kerajaan Pakatan Harapan (PH) bawah pentadbiran Dr Mahathir Mohamad mengeluarkan badan pemikir terbabit daripada JPM.

Bagaimanapun pada 8 Nov 2021, kerajaan mengumumkan MPN kembali diiktiraf sebagai agensi bawah JPM.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.