Hukuman mati ‘Rambo Bentong’ kekal

Hukuman mati ‘Rambo Bentong’ kekal

Mahkamah Persekutuan menolak permohonan Rabidin Satir untuk menukar hukuman itu selepas didapati bersalah membunuh pelajar dan penjawat awam.

Gavel
Mahkamah Persekutuan enggan menggunakan kuasa budi bicara untuk menukar hukuman mati terhadap Rabidin Satir, Kher Tian Hock dan Muidin Maidin untuk tiga kes pembunuhan berasingan. (Gambar Pexel)
PUTRAJAYA:
Mahkamah Persekutuan menolak permohonan untuk menukar dua hukuman mati oleh seorang lelaki Rabidin Satir atau dikenali sebagai ‘Rambo Bentong’ yang didapati bersalah membunuh seorang remaja perempuan dan seorang penjawat awam.

Ketua Hakim Negara, Tengku Maimun Tuan Mat, mengumumkan panel tiga hakim menolak untuk menukar hukuman mati dijatuhkan ke atas Rabidin untuk pembunuhan yang berlaku 15 dan 12 tahun lalu itu.

Dua lagi anggota panel adalah Presiden Mahkamah Rayuan Abang Iskandar Abang Hashim dan Hakim Nordin Hassan.

Rabidin didapati bersalah oleh Mahkamah Tinggi Temerloh atas tuduhan membunuh Annie Kok yang berusia 17 tahun dengan menikam lehernya di rumah mangsa di Bentong, Pahang, pada 7 Mac 2009.

Bagaimanapun, Rabidin yang berasal dari Sabah dibebaskan daripada tuduhan berasingan merogol pelajar tersebut.

Pada 3 Nov 2012, Rabidin didapati bersalah dan dijatuhkan hukuman mati atas tuduhan membunuh Pegawai Jabatan Perhutanan, Khairul Hazri Jamaludin, di rumah mangsa, serta merogol isteri Khairul.

Kedua-dua sabitan dan hukuman tersebut dikekalkan oleh Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan.

Rabidin memohon semakan semula hukuman matinya bawah Akta Semakan Hukuman Mati dan Hukuman Penjara Seumur Hidup (Bidang Kuasa Sementara Mahkamah Persekutuan) 2023.

Timbalan Pendakwa Raya, Yusaini Amer Abdul Karim, yang membantah permohonan tersebut, berkata tindakan Rabidin meletakkan kes itu dalam kategori paling jarang berlaku yang tidak layak untuk mendapat budi bicara mahkamah.

Dalam hujahnya, peguam Rabidin, Fairuz Ahmad Yusof berkata anak guamnya memohon maaf kepada keluarga Kok dan Khairul.

Beliau memberitahu mahkamah bahawa Rabidin tidak berniat melakukan jenayah itu, dan lelaki tersebut masuk ke rumah pasangan berkenaan untuk mencari ‘senjata api’.

Fairuz berkata tiada siapa yang memberi keterangan melihat Kok dibunuh.

Sebagai respons, Tengku Maimun berkata: “Mangsa berada di rumah dan tertuduh masuk ke rumah mereka untuk membunuh mereka. Bagaimana kita boleh berasa selamat di rumah?”

Hukuman mati kekal untuk pembunuh remaja dan kanak-kanak

Dalam satu lagi kes berasingan, mahkamah juga menolak permohonan Kher Tian Hock dan Muidin Maidin untuk menukar hukuman mati mereka.

Kher dijatuhi hukuman mati selepas didapati bersalah membunuh seorang remaja See Sheau Fang pada 3 Mac 2004, di Taman Perwira Sijangkang, Kuala Langat.

Timbalan Pendakwa Raya, Roshan Karthi, memberitahu mahkamah See dicekik sehingga mati. Mayat mangsa kemudian dimasukkan ke dalam beg plastik dan dicampak ke dalam lubang sebelum ditutup dengan simen.

Sementara itu, Muidin didapati bersalah membunuh kanak-kanak perempuan berusia lima tahun, Nurul Nadirah Abdullah pada 1 Mac 2012, di sebuah ladang kelapa sawit di Bandar Seri Alam, Masai, Johor.

Timbalan Pendakwa Raya, Amril Johari, berkata mayat Nadirah ditemui dibakar manakala DNA Muidin dikesan dalam alat sulit mangsa.

Peguam Hasnan Hamzah mewakili Kher manakala Nik Ikhwan Nik Mahamud mewakili Muidin.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.