RM2.1 juta rokok seludup dirampas di Kelantan

RM2.1 juta rokok seludup dirampas di Kelantan

Pengarah Jabatan Kastam Kelantan percaya rokok dirampas itu untuk pasaran utara Semenanjung, khasnya pekerja asing.

Pengarah Kastam Kelantan, Wan Jamal Abdul Salam Wan Long (dua dari kanan) bersama pegawai menunjukkan rokok seludup bernilai RM2.1 juta yang dirampas dari 29 Jun hingga 5 Julai lalu di Wisma Kastam Padang Bongor hari ini. (Gambar Bernama)
KOTA BHARU:
Jabatan Kastam Kelantan merampas 3.2 juta rokok seludup pelbagai jenama dianggarkan bernilai RM2.1 juta dalam operasi darat pada 29 Jun hingga 5 Julai lepas.

Pengarahnya, Wan Jamal Abdul Salam Wan Long berkata semua rokok itu dirampas susulan penahanan sebuah lori 11 tan di laluan Jeli-Gerik.

Menurutnya, rokok dirampas itu dipercayai untuk pasaran utara Semenanjung, terutamanya pekerja asing.

“Dalam operasi itu, kastam turut menahan seorang lelaki berusia 49 tahun, namun telah dibebaskan dengan jaminan dan kes akan disiasat mengikut Seksyen 135 Akta Kastam 1967,” katanya dalam sidang media di sini.

Dalam perkembangan lain, Wan Jamal berkata, pihaknya telah menyiapkan kertas cadangan kepada ibu pejabat kastam di Putrajaya bagi mewujudkan sebuah pejabat cawangan penguatkuasaan kastam di Gua Musang.

Beliau yakin dengan adanya pejabat cawangan itu, pengoperasian akan lebih lancar dan berkesan, termasuk tindakan lebih pantas dapat diambil setiap kali menerima maklumat.

“Buat masa sekarang, pejabat penguatkuasaan kastam hanya ada di Kota Bharu dan jaraknya amat jauh dengan Gua Musang.

“Kami berkemungkinan menempatkan 14 anggota di Gua Musang dan beroperasi bergilir-gilir setiap minggu.”

Beliau turut meminta orang ramai membantu kastam memerangi jenayah penyeludupan dan menasihati mereka tidak membabitkan diri dengan aktiviti haram.

“Penyeludupan bukan saja merugikan negara dari segi ketirisan hasil, malah turut mendatangkan ancaman kepada keselamatan negara dan kesejahteraan rakyat.

“Oleh itu, kastam menyeru orang awam memberi kerjasama dengan menyalurkan maklumat aktiviti penyeludupan melalui talian bebas tol kastam 1-800-88-8855 atau pejabat kastam terdekat di semua negeri.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.