Rakyat Malaysia cedera ditimpa konkrit di Hong Kong

Rakyat Malaysia cedera ditimpa konkrit di Hong Kong

Ng Shu Lin, 44, cedera di kepala setelah ditimpa sekeping konkrit yang jatuh dari Bangunan Yau Lai di Tsim Sha Tsui.

Nathan Road
Seorang rakyat Malaysia dalam lawatan kerja ke Hong Kong cedera ditimpa sekeping konkrit yang jatuh dari bangunan ketika melalui kawasan Tsim Sha Tsui yang sibuk. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Lawatan kerja ke Hong Kong seorang rakyat Malaysia bermula dengan detik cemas apabila beliau ditimpa sekeping konkrit pada hari pertama berada di kota itu.

Hanya beberapa jam selepas tiba di kota itu pada 4 Julai, Ng Shu Lin ditimpa sekeping konkrit yang jatuh dari Bangunan Yau Lai di Jalan Nathan, Tsim Sha Tsui, mengakibatkan beliau cedera di kepala.

Ketika kejadian, lelaki berusia 44 tahun itu melalui kawasan yang sibuk dengan pejalan kaki dan bangunan tinggi itu dalam perjalanan ke sebuah seminar.

Menurut rakannya, Yap Shy Cuan, 48, impak kejadian itu menyebabkan Ng terjatuh, namun segera dibantu orang ramai.

Yap berkata, akibat kecederaan dialami, rakannya itu telah menjalani dua pembedahan

“Ng telah menjalani dua pembedahan, tetapi masih terdapat serpihan konkrit yang tidak dapat dikesan dan dikeluarkan.

“Pembedahan kedua baru sahaja dilakukan semalam. (Ng) dijangka keluar hospital esok,” katanya, lapor Bernama.

Mangsa yang dirawat di Hospital Baptist Hong Kong dilaporkan berada dalam keadaan stabil, namun lemah.

Beliau merancang berjumpa dengan peguam selepas keluar dari hospital untuk mempertimbangkan tindakan undang-undang berhubung kejadian itu.

Laporan dari tempat kejadian menunjukkan beberapa serpihan konkrit ditemukan di kaki lima, dengan retakan kelihatan di bahagian bawah kanopi bangunan itu.

Jabatan Bomba menggunakan tangga untuk mengeluarkan kepingan konkrit lain yang longgar dan berisiko jatuh dari bangunan berusia 61 tahun itu.

Menurut Jabatan Bangunan, notis berkanun untuk pemeriksaan wajib bangunan telah dikeluarkan lebih awal untuk kawasan komunal bangunan itu dan pemeriksaan dilakukan mengikut notis.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.