PM lulus RM1 juta bangun Kompleks Pendidikan Al-Ummah

PM lulus RM1 juta bangun Kompleks Pendidikan Al-Ummah

Pembinaan Kompleks Pendidikan Al-Ummah dimulakan pada 2016 dan setakat ini menelan kos kira-kira RM6 juta dengan jumlah keseluruhan dianggarkan RM35 juta.

anwar
Perdana Menteri Anwar Ibrahim pada Lawatan Muhibbah dan Majlis Hi-Tea di Kompleks Pendidikan Al-Ummah, Chepor. (Gambar Bernama)
IPOH:
Perdana Menteri Anwar Ibrahim meluluskan peruntukan RM1 juta kepada Kompleks Pendidikan Al-Ummah (KPU) di Chepor bagi tujuan pembangunan.

Anwar yang juga Ahli Parlimen Tambun berkata beliau melihat tidak banyak pihak yang mempunyai kesungguhan mengambil inisiatif sendiri dalam mengumpulkan dana seperti dilakukan KPU yang berjaya mengutip hampir RM6 juta.

“Pendidikan masjid ini, tuntutan kepada semua, maknanya kalau satu masjid didirikan hanya daripada peruntukan daripada (pihak) atas, ini tidak memenuhi semangat dan roh bahawa ia menjadi hak masyarakat.

“Untuk sekarang ini sebelum saya dapat teliti lagi, saya luluskan RM1 juta dulu. Minta setiausaha kerajaan negeri bantu mengingatkan Unit Penyelarasan Jabatan Perdana Menteri supaya menyegerakan dan dalam tempoh satu ke dua minggu wang itu harus sampai,” katanya ketika berucap pada Lawatan Muhibbah dan Majlis Hi-Tea di KPU Chepor.

Turut hadir Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil, Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia dan NGO negeri Mohd Azlan Helmi, Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam negeri Mohammad Nizar Jamaluddin dan Pengerusi KPU Mohd Nasir Kamaruddin.

Anwar yang juga menteri kewangan berkata bagi peruntukan lain, ia harus dibincangkan dan diteliti untuk membolehkan pihaknya berunding dengan kerajaan negeri supaya projek berkenaan siap.

Pembinaan KPU fasa satu dimulakan pada 2016 dan setakat ini menelan kos kira-kira RM6 juta dan pembinaan keseluruhan dianggarkan bernilai RM35 juta.

KPU dibangunkan untuk menangani masalah kepadatan kira-kira 2,200 orang terdiri murid, guru dan staf sokongan bagi prasekolah, Sekolah Rendah Islam AI-Ummah (Seri) dan Madrasah Al-Hikmah (Madah) selepas 36 tahun beroperasi.

Sementara itu, Anwar berkata hijrah adalah perubahan untuk melengkapkan konsep ummah, kenegaraan dan kemasyarakatan seperti yang ditonjolkan Nabi Muhammad.

“Bangun kamu daripada kealpaan, ia bermula dengan diri kita, bersihkan daripada segi fizikal, keyakinan, kepercayaan dan tingkatkan akhlak serta nilai peribadi,” katanya.

Dalam majlis berasingan, perdana menteri turut meluluskan peruntukan khas RM72,000 kepada Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Chung Hwa Kanthan Baru, Chemor, ketika menghadiri majlis Pesta Makan Buah-Buahan di sekolah tersebut.

Anwar meluangkan masa kira-kira setengah jam pada majlis tersebut yang dihadiri kira-kira 1,500 tetamu dengan hidangan buah-buahan tempatan antaranya durian, jagung, manggis dan limau bali.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.