
Pengarah Komunikasi Pemuda, Haziq Azfar, berkata mengaitkan usaha penyasaran subsidi itu terhadap keputusan PRK ternyata tidak produktif.
“Wakil rakyat kerajaan perlu terus mendukung usaha pelaksanaan subsidi bersasar dan tidak terikut dakyah pembangkang yang anti terhadap reformasi fiskal.
“Beberapa reaksi sinis wakil rakyat kerajaan mengaitkan usaha penyasaran subsidi terhadap keputusan PRK Sungai Bakap ternyata tidak produktif dan menambah beban terhadap moral kerajaan perpaduan untuk terus melaksanakan reformasi,” katanya dalam kenyataan.
Walaupun tidak menamakan wakil rakyat dimaksudkan, Ahli Parlimen Pasir Gudang Hassan Karim sebelum ini pantas mengaitkan penyasaran subsidi diesel menyebabkan rakyat marah, sekali gus menyumbang kekalahan Pakatan Harapan (PH) pada PRK Sungai Bakap.
Beliau berkata, Najib Razak kalah PRU14 kerana isu cukai barang dan perkhidmatan (GST) dan 1MDB, manakala PH kalah di Sungai Bakap dengan isu pelaksanaan penyasaran subsidi berkenaan.
Dalam pada itu, Pemuda PKR turut mengakui kerumitan pentadbiran kerajaan menguruskan reaksi rakyat susulan langkah penyasaran bahan bakar itu.
“Justeru, walaupun sukar dan penuh ranjau, wakil rakyat kerajaan perlu terus cekal dan istiqamah mendukung usaha penyasaran subsidi dan tidak menyerang mana-mana pimpinan kerajaan yang melakukan perkara yang betul demi kepentingan rakyat kebanyakan,” katanya.
Sabtu lalu, Perikatan Nasional berjaya mengekalkan kerusi DUN Sungai Bakap dengan majoriti 4,267 undi menerusi calonnya Abidin Ismail yang mengalahkan calon PH Joohari Ariffin.