Henti tuding jari kekalahan Sg Bakap, kata pemimpin DAP

Henti tuding jari kekalahan Sg Bakap, kata pemimpin DAP

Jason Hng menepis dakwaan seorang veteran Umno bahawa pemimpin DAP gagal mendekati pengundi Cina semasa kempen PRK.

Jason Hng Mustapha Yaakub
Jason Hng dari DAP Pulau Pinang memberitahu Setiausaha Kelab Veteran Umno, Mustapha Yaakub bahawa pemimpin DAP bekerja tanpa lelah di lapangan sepanjang tempoh berkempen PRK Sungai Bakap.
PETALING JAYA:
Seorang pemimpin DAP Pulau Pinang menggesa tindakan menuding jari atas kekalahan gabungan perpaduan di PRK Sungai Bakap dihentikan, selepas seorang veteran Umno mendakwa pemimpin DAP gagal mendekati pengundi Cina semasa kempen.

Setiausaha Organisasi DAP Pulau Pinang, Jason Hng menepis dakwaan Setiausaha Kelab Veteran Umno, Mustapha Yaakub dengan berkata setiap parti komponen kerajaan perpaduan memainkan peranan mereka dalam kempen PRK itu.

“Tidak kurang pemimpin-pemimpin DAP turun berkempen di Sungai Bakap untuk membantu tanpa lelah sepanjang tempoh kempen (untuk Joohari Ariffin dari Pakatan Harapan),” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, semua pemimpin dalam gabungan perpaduan perlu menghormati keputusan pengundi Sungai Bakap dan berusaha meningkatkan perkhidmatan mereka kepada rakyat, bukannya cuba menyalahkan orang lain.

Semalam, Mustapha dilaporkan berkata, Kelab Veteran Umno menerima maklumat pemimpin DAP gagal mendekati pengundi Cina, dengan ada di antara mereka tidak sedar ada PRK dan ada pula mengakui tiada sebab untuk mengundi.

FMT melaporkan kurang separuh daripada 8,642 pengundi Cina di Sungai Bakap keluar mengundi Sabtu lalu, menurut data Perikatan Nasional.

Hng yang juga exco negeri mengakui ada yang mungkin sukar menerima “gelombang perubahan” dibawakan kerajaan perpaduan di peringkat persekutuan.

Tanpa menjelaskan apa “perubahan” itu, beliau dipercayai merujuk penyasaran subsidi diesel, antara lain.

Tetapi katanya, kerajaan Pulau Pinang akan memperhebatkan usaha membela nasib rakyat dan melaksanakan dasar menguntungkan rakyat dalam jangka panjang.

“Kerajaan perpaduan (negeri) juga akan menggandakan usaha dan mendengar suara akar umbi supaya dapat tingkatkan perkhidmatan kepada rakyat bagi mendapatkan semula keyakinan dan sokongan mereka.”

Sabtu lalu, PN mempertahankan kerusi Sungai Bakap dengan majoriti 4,267 undi. Calon PN, Abidin Ismail dari PAS memperoleh 14,489 undi berbanding 10,222 undi diraih pencabarnya dari PH, Joohari.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.