
Pemimpin Pemuda Umno itu yang enggan dinamakan, berkata sebaliknya yang berlaku kepada Pakatan Harapan (PH).
Katanya, PN menggunakan strategi betul sejak PRN tahun lalu. “PN pilih calon yang boleh menang, tanpa ambil kira kelayakan calon asalkan beliau diterima pengundi,” kata sumber itu.
PN mengkaji bergantung kepada keperluan setempat, manakala PH memilih calonnya berdasarkan nama dan kedudukan dalam parti.
Sumber itu berkata, ahli Umno di kawasan luar bandar secara umumnya lebih keberatan mengundi calon PH, berbanding pengundi Umno di kawasan bandar.
“Sentimen di luar bandar sangat berbeza. Kuala Kubu Baharu dan Pulai (PRK sebelum ini) adalah kerusi bandar, justeru undi Umno pergi ke calon PH.
“Namun, di kawasan luar bandar ia sangat berbeza,” katanya.
Pada Sabtu, PN mengekalkan kawasan Sungai Bakap selepas calonnya, Abidin Ismail menewaskan pencabar dari PH, Joohari Ariffin dengan 4,267 undi. PRK Sungai Bakap diadakan susulan kematian penyandangnya, Nor Zamri Latiff, pada Mei.
‘Penyasaran diesel punca keluar mengundi rendah’
Dalam pada itu, pemimpin DAP yang enggan dinamakan berkata skim subsidi baharu diesel menyasarkan kumpulan berpendapatan rendah menyumbang jumlah keluar mengundi rendah dalam kalangan masyarakat Cina.
“Orang Cina di kawasan kebun kecil bergantung kepada diesel. Kumpulan ini tidak mendapat subsidi, jadi berlaku implikasi kos,” katanya.
Kebanyakan pengundi Cina enggan turun, namun ‘peratusan kecil’ mengundi PN, katanya.
Koordinasi antara parti ketika berkempen juga tidak berjalan lancar.
“Ketika Menteri Besar Selangor Amirudin Shari berucap pada satu acara di Sungai Bakap, kurang daripada 20 orang awam hadir. Selainnya, adalah orang parti. Begitu juga berlaku apabila Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow bercakap kepada masyarakat India,” katanya.
Pada Sabtu, Chow berkata, pengundi Cina turun memilih sekitar 49%, penurunan 13% berbanding PRN tahun lalu. Manakala, tiada perubahan bagi pengundi India.
Sejumlah 24,711 daripada 39,279 pengundi atau 63.5% keluar mengundi.
Chow mengesahkan satu daripada isu utama rasa tidak senang berkait skim subsidi yang dilaksanakan bermula 10 Jun. Pembangkang dan ahli Umno berpandangan, skim itu sepatutnya ditangguhkan.