
Timbalan Ketua Umno Pulau Pinang Shaik Hussein Mydin, yang mengesahkan individu dalam video itu ahli Umno negeri itu berkata, mereka yang tidak mematuhi keputusan parti disifatkan terpecat daripada parti secara automatik.
Keputusan itu boleh dibuat tanpa perlu melibatkan Lembaga Disiplin, tambahnya.
Beliau berkata, video itu membuktikan PN berjaya ‘memanipulasi’ ahli Umno untuk menyokong pakatan pembangkang di Sungai Bakap.
“Sekurang-kurangnya Umno akan bersedia dengan strategi licik dan penipu (PN) yang kononnya memperjuangkan agama. (Menerusi video) ternyata beliau ‘ditunggang’ oleh PN.
“Ini ‘wake up call’ untuk semua dalam kerajaan,” kata ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno itu kepada FMT.
Dalam video itu, ahli Umno Batu Kawan Tajuddin Syarif berkata, Umno akan dapat bertanding di DUN Sungai Bakap pada masa akan datang jika PKR kalah pada PRK kali ini.
Beliau menggesa rakan separtinya menyokong PN agar perkara ini menjadi kenyataan dan memberi manfaat kepada Umno dalam jangka masa panjang.
Selepas kerusi DUN itu diwujudkan pada 1959, MCA memegangnya selama dua penggal sebelum tewas kepada Gerakan. Gerakan kemudiannya menyertai Barisan Nasional (BN), mengekalkan kerusi itu dalam gabungan sehingga 2008 apabila ia dirampas oleh PKR.
PKR mempertahankan kerusi itu selama dua penggal sebelum PN merampasnya pada PRN tahun lepas.
Pada PRK Sabtu lepas, calon PN Abidin Ismail memenangi kerusi itu dengan majoriti 4,267 undi, menewaskan calon Pakatan Harapan (PH) Joohari Ariffin.