2 beradik kritikal termakan keropok ada racun tikus

2 beradik kritikal termakan keropok ada racun tikus

Kejadian di Kulim, Kedah semalam disedari ibu mangsa selepas anaknya berusia dua dan tiga tahun muntah.

Kedua-dua mangsa dipercayai mengambil peket keropok segera yang digantung di sebuah kebun untuk memerangkap monyet, kata polis. (Gambar PDRM)
PETALING JAYA:
Dua beradik lelaki dilaporkan kritikal selepas dipercayai termakan keropok mengandungi racun tikus yang tergantung di pagar sebuah kebun dalam kejadian di Kulim, Kedah, semalam.

Ketua Polis Kulim, Mohd Azizul Mohd Khairi, berkata kejadian di Kampung Padang Ubi, Labu Besar itu disedari ibu mangsa pada 11 pagi selepas melihat dua beradik berusia dua dan tiga tahun itu muntah.

Katanya, wanita berusia 25 tahun itu kemudiannya membawa anaknya ke Klinik Kesihatan Malau dan kemudian ke Hospital Kulim (HK) untuk rawatan lanjut.

“Hasil siasatan mendapati dua beradik itu dipercayai mengambil peket keropok segera yang tergantung di dawai besi pagar kebun itu yang mengandungi racun bagi tujuan memerangkap monyet.

“Kebun itu dipercayai milik penduduk berhampiran rumah dua beradik itu sebelum mangsa membuka dan menjamahnya.

“Ibu mangsa kemudian melihat anak mereka muntah dan mulut berbuih di rumah pada11 pagi,” katanya dalam kenyataan hari ini, menurut Berita Harian.

Beliau berkata dua beradik itu disahkan berada dalam keadaan kritikal dan telah dirujuk ke Hospital Besar Pulau Pinang untuk rawatan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 31(1) (a) Akta 611 berkaitan pengabaian terhadap kanak-Kanak dan Seksyen 284 Kanun Keseksaan.

“Pihak kini sedang mengesan pemilik kebun yang disyaki jiran mangsa untuk membantu siasatan kes itu,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.