KPM saring semula data PAJSK tercicir bagi lepasan SPM 2023

KPM saring semula data PAJSK tercicir bagi lepasan SPM 2023

Data itu akan diserahkan kepada UPU bagi tujuan padanan dan penawaran melanjutkan pengajian.

Baru-baru ini dilaporkan isu markah PAJSK lepasan SPM 2023 kosong sehingga mengakibatkan ada pelajar gagal melanjutkan pengajian atau tidak mendapat tawaran pilihan pertama di IPT. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Kementerian Pendidikan (KPM) menyaring semula data Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK) pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023 yang tercicir markah PAJSK.

KPM memaklumkan, data itu akan diserahkan kepada Unit Pusat Universiti (UPU) bagi tujuan padanan dan penawaran melanjutkan pengajian yang tertakluk kepada kelayakan calon dan kekosongan program.

“KPM mengambil serius isu calon lepasan SPM yang tercicir markah PAJSK,” katanya dalam kenyataan.

“Tindakan segera telah diambil untuk menyaring semula data PAJSK calon yang tercicir.”

Kementerian juga sedang menyiasat perkara berbangkit itu dengan terperinci dan melaksanakan langkah intervensi bagi menyelesaikannya agar isu sama tidak berulang.

Bagi pelajar lepasan SPM yang ingin memohon melanjutkan pengajian melalui sistem UPU, pengiraan markah merit akan merangkumi 10% markah kokurikulum selain keputusan peperiksaan.

Baru-baru ini, media melaporkan isu markah PAJSK lepasan SPM yang kosong sehingga mengakibatkan ada pelajar gagal dalam permohonan meneruskan pengajian ke institut pendidikan tinggi atau tawaran yang diperoleh bukan pilihan pertama.

Antaranya, penjaga pelajar sebuah sekolah mendakwa anaknya gagal mendapat pilihan pertama selepas keputusan permohonan UPU lepasan SPM 2023 diumumkan pada 27 Mei lepas.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.