
Presidennya, Muhammad Mohan berkata, keselamatan sistem itu telah dicerobohi, seperti yang didedahkan oleh Jawatankuasa Kira-kira Awam (PAC).
Terdahulu, PAC mendedahkan bahawa dua ID pengguna bukan milik mana-mana pegawai Kesuma telah ditemukan dalam sistem itu, dan 24 pengguna tanpa kebenaran didapati meluluskan 24 permohonan majikan.
Muhammad berkata, ini mungkin menyumbang kepada banyak kes warga Bangladesh datang ke Malaysia setelah dijanjikan pekerjaan namun mendapati mereka tertipu.
“Ini isu penting yang tidak patut diabaikan. Dalam kes ini, pasti ada beberapa pegawai kanan terlibat. Jika perkara ini berlaku di Kesuma, ia boleh berlaku di kementerian lain juga,” katanya.
Pada Rabu, Menteri Sumber Manusia Steven Sim berkata, kementerian akan melancarkan audit dalaman untuk menyiasat percanggahan dalam sistem pengurusan pekerja asing kendaliannya itu.
“Audit itu boleh diketuai ketua setiausaha kementerian (Khairul Dzaimee Daud), tetapi jawatankuasanya perlu dianggotai individu bebas untuk menambah kredibiliti audit tersebut,” kata Muhammad.
Beliau mencadangkan agar audit itu melibatkan pakar IT daripada badan profesional seperti firma perakaunan ‘Big Four’.
Bekas Ahli Parlimen Charles Santiago juga mengalu-alukan audit Kesuma itu, menyeru agar amalan tadbir urus yang baik dipatuhi.
“Antaranya, tidak boleh siasat diri sendiri. (Ini akan) mewujudkan konflik kepentingan dan tiada siapa yang akan percayakan anda,” kata Santiago, seorang peguam hak migran.
FMT telah cuba mendapatkan maklumat lanjut mengenai audit itu daripada pejabat menteri sumber manusia.