Universiti digesa wajib ujian HIV pelajar baharu

Universiti digesa wajib ujian HIV pelajar baharu

Rabu lalu Dewan Rakyat diberitahu kes HIV meningkat dalam kalangan pelajar universiti awam dan swasta.

Pihak kampus perlu menyediakan sokongan psikososial seperti kaunseling dan kumpulan sokongan untuk pelajar terkesan jangkitan HIV.
PETALING JAYA:
Universiti digesa mewajibkan ujian HIV terhadap pelajar baharu susulan peningkatan kes membabitkan golongan itu yang berusia 18 hingga 25 tahun.

Presiden Interim Kesatuan Mahasiswa Universiti Malaya (KMUM), Nazirah Abdullah, berkata ketika ini penularan kes itu gagal ditangani di peringkat kampus kerana kekurangan usaha merangka dasar dan pelaksanaan program kesedaran kepada pelajar.

Nazirah Abdullah.

“Jadi, wajibkan ujian HIV kepada semua pelajar yang akan memasuki universiti. Prosedur ini sama seperti melakukan pemeriksaan kesihatan sebelum memasuki kampus atau mendaftarkan diri pada tahun pertama.

“Hal ini dapat mengurangkan kadar kenaikan kerana ada juga mahasiswa yang sudah lama dijangkiti tetapi mereka tidak pernah melakukan ujian atau saringan HIV,” katanya kepada FMT.

Beliau berkata, jika pelajar yang terkesan dapat dikenal pasti lebih awal maka pihak universiti boleh mengambil langkah mengawal penularan serta memberi bimbingan atau kaunseling kepada mereka.

Rabu lalu, Menteri Pendidikan Tinggi Zambry Abdul Kadir memberitahu Dewan Rakyat, data Kementerian Kesihatan menunjukkan seramai 214 pelajar institusi pengajian tinggi awam dan swasta dijangkiti HIV pada 2020, diikuti sedikit penurunan sebanyak 186 kes pada 2021.

Bagaimanapun, jumlah itu kembali meningkat kepada 221 kes pada 2022 dan 244 (2023).

Jeeva Cassandra Abdul Mumin.

Sementara itu, bekas setiausaha kerja Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan, Jeeva Cassandra Abdul Mumin, berkata kampus perlu memperkenalkan program kesedaran dan melaksanakan pendidikan seks yang merangkumi maklumat mengenai HIV serta pencegahannya.

Katanya, pihak kampus perlu menyediakan sokongan psikososial seperti kaunseling dan kumpulan sokongan untuk pelajar terkesan.

“Kerjasama pelajar, universiti dan organisasi kesihatan sangat penting untuk memastikan maklumat dan langkah pencegahan dilaksanakan dengan berkesan, serta mengurangkan stigma dan diskriminasi terhadap mereka yang hidup dengan HIV,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.