Johari saran bekas ahli mahu kembali ke Umno ikrar ‘tiada lagi paling tadah‘

Johari saran bekas ahli mahu kembali ke Umno ikrar ‘tiada lagi paling tadah‘

Naib presiden Umno itu berkata, mereka yang mahu pulang ke pangkuan Umno perlu masuk sebagai ahli biasa, walaupun pernah memegang jawatan.

Naib Presiden Umno, Johari Ghani berucap di Mesyuarat Perwakilan Umno Bukit Gantang di Taiping hari ini. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Bekas ahli yang mahu pulang ke pangkuan Umno perlu diminta berikrar tidak akan melompat parti lagi, kata Naib Presiden, Johari Ghani.

“Nak masuk kena berikrar ‘saya dengan ini berikrar bahawa saya tidak akan mengulangi perbuatan saya lompat sana, lompat sini’,” katanya menurut Bernama selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan Umno Bukit Gantang di Taiping.

Johari berkata, Umno mengalu-alukan kepulangan bekas ahli, tetapi mereka perlu mengikut prosedur ditetapkan, antaranya masuk sebagai ahli biasa, walaupun pernah memegang jawatan kepimpinan sebelum berpaling tadah.

Beliau mengulas status Ahli Parlimen Bukit Gantang, Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal, bekas timbalan ketua Umno bahagian yang menyertai Bersatu pada 2020.

Keahlian Syed Hussin dalam Bersatu ditamatkan bulan lalu, bersama lima Ahli Parlimen lain, selepas mereka mengisytiharkan sokongan kepada Perdana Menteri, Anwar Ibrahim.

Semalam, Presiden Umno, Zahid Hamidi dilaporkan berkata, parti itu menerima banyak permohonan daripada bekas ahli yang mahu kembali ke pangkuannya.

Menurutnya, perkara itu akan dibawa ke Lembaga Disiplin untuk menentusahkan keahlian mereka.

Jangan telagah calon pilihan raya

Terdahulu, Johari mengingatkan ahli akar umbi tidak bertelagah dalam soal mengenal pasti calon pilihan raya, khasnya PRU.

“Jangan bergaduh, jika tidak akhirnya ia (pemilihan calon) akan ke peringkat pusat untuk buat keputusan dan kemungkinan besar (pusat) akan tersilap pilih. Kalau kita di bawah ini sudah bergasak, macam mana masyarakat hendak menyokong kita, jadi itu yang saya tekankan.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.