
Ketua Penerangan Pemuda, Neow Choo Seong, berkata ‘keteguhan MCA sebagai pembangkang dalam kerajaan’ adalah mesej jelas yang parti itu tidak rela dianggap alat untuk menjaja hubungan baik Umno-DAP, sebaliknya mahu dilihat berperanan semak dan imbang.

“Kalau hari ini pemimpin Umno boleh melemparkan kritikan terhadap MCA, bersedialah kamu menerima kritikan daripada kami juga sekiranya tidak melakukan perkara betul.
“Cermin diri dulu kerana kritikan itu biasa. Kalau sekadar nak menghina, lebih baik simpan dan fikirkan apa yang anda boleh lakukan untuk membantu BN,” katanya kepada FMT.
Sambil menjelaskan kritikan adalah perkara biasa dalam politik, Neow berkata kelantangan MCA bukan cubaan meniru gaya politik DAP sebaliknya menggunakan peluang untuk tampil lebih bebas dan menjadi alternatif kepada rakyat tanpa perlu terikat kepentingan Kabinet.
Beliau berkata, apa dilemparkan kepada MCA dulu berulang kepada DAP selepas mereka berada dalam kerajaan.
Katanya, tiada keperluan untuk DAP bersikap lantang kerana sudah terlalu selesa dengan 90% pengundi Cina terbukti menyokong parti itu, dan apa ‘disibukkan’ sekarang adalah menjaga keharmonian politik kerajaan perpaduan terutama bersama Umno.
“Dulu apabila MCA mengambil sikap sederhana, kita dianggap sebagai boneka Umno, tidak berani memperjuangkan kepentingan orang Cina.
“Tetapi apabila mereka (DAP) berkuasa, baru faham realitinya…kita nak jaga kepentingan orang Cina, tapi kita tidak boleh menolak bahawa kita juga ada kepentingan orang (kaum) lain yang terpaksa kita jaga,” katanya.
Lantang bukan penyelesaian
Sebelum ini, MCA melalui Presiden Wee Ka Siong dilihat lantang mengkritik kerajaan yang didakwa gagal melaksanakan komunikasi jelas apabila mengeluarkan kenyataan bercanggah dalam beberapa perkara seperti subsidi diesel, sistem pangkalan data utama (Padu) dan cukai jualan dan perkhidmatan (SST).
Wee juga membangkitkan soal data peribadi 33 juta pemandu berisiko terdedah menerusi aplikasi MyJPJ, selain isu tambang penerbangan ke Sabah dan Sarawak yang membebankan pengguna.
Susulan itu, MCA ditegur antaranya oleh Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno Lokman Noor Adam yang memintanya kembali sebagai ‘pemain pasukan’, malah pemimpin DAP yang juga Timbalan Menteri Kewangan Lim Hui Ying mempersoalkan kesetiaan mereka sehingga mendakwa parti tersebut berkelakuan seperti sekutu Perikatan Nasional.
Sementara itu, penganalisis politik Lau Zhe Wei dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) berkata kelantangan MCA disebabkan parti tersebut perlu menunjukkan yang ia masih ada kualiti dan terus disokong masyarakat Cina.
Katanya, jika MCA mengambil sikap berdiam diri seolah-olah menunjukkan kewujudannya tidak lagi dirasai selepas mengalami fasa suram akibat tsunami politik pada PRU12.
“Namun, (lantang) bukan penyelesaian untuknya bangkit semula…kecuali jika MCA boleh memikirkan strategi berkesan menarik pengundi baru terutama golongan muda,” katanya.
Prestasi MCA merosot sejak PRU12 pada 2008 dan kini hanya memiliki dua Ahli Parlimen iaitu Wee (Ayer Hitam) dan Wee Jeck Seng (Tanjung Piai).