
Beliau berkata, langkah ini secara tidak langsung menjejaskan usaha meningkatkan kemahiran pekerja di seluruh negara.
“Pendedahan oleh PAC (Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara) memang mengejutkan kerana dana yang sepatutnya digunakan untuk program latihan bagi meningkatkan lagi kemahiran pekerja digunakan untuk tujuan lain.
“Sedangkan kita sedia maklum dalam aspek kemahiran, pekerja kita masih lagi berada pada tahap tidak memuaskan. Jadi apa yang didedahkan ini sebenarnya amat mengecewakan.
“Kita harap perkara ini disiasat dengan teliti sebagai pengajaran pada masa akan datang,” katanya, lapor Sinar Harian, susulan pendedahan oleh PAC bahawa HRD Corp menggunakan RM3.77 bilion kutipan levi majikan untuk pelaburan.
Kamarul turut mencadangkan agar HRD Corp membuka permohonan program latihan kepada kesatuan sekerja dan pekerja sendiri, berbanding hanya melalui majikan.
“MTUC ada mendapat makluman daripada ahli bahawa mereka yang pernah bekerja selama 10 tahun di sesebuah syarikat tidak pernah dihantar mengikuti sebarang program atau kursus meningkatkan kemahiran, sedangkan peningkatan kemahiran harus seiring dengan kemajuan teknologi,” katanya.